Malaysia Dateline

PRN Sarawak diadakan selepas darurat 60 hari

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan media semalam berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai lalu berkaitan pengisytiharan proklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” katanya.

Tegas beliau, satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

Jelasnya lagi, di bawah peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN Sarawak yang sepatutnya terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya, tidak mempunyai kesan berdasarkan Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat itu.

“DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

” Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya lagi.