Malaysia Dateline

PRN Sarawak ditangguhkan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara automatiknya terbubar semalam selepas tamat dalam tempoh lima tahun dan mengikut Perlembagaan Negeri, DUN harus dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.

Bagaimanapun, dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih serius di negeri ini, maka Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan darurat kesihatan 1 Ogos 2021 ditarik balik.

Dengan pengisytiharan darurat bermula 11 Januari lalu, kuasa membubarkan DUN Sarawak adalah terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi memaklumkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat iaitu pada 6 Jun 2021.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, tarikh pembubaran DUN Sarawak hanya akan ditetapkan kelak selepas perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dalam norma biasa, DUN Sarawak sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya.

“Namun negara pada ketika ini dibawah perintah darurat kesihatan pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021,” katanya.

Katanya lagi, tarikh 6 Jun merupakan tarikh tamat lima tahun dari tarikh mesyuarat DUN selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016.

“Pembubaran DUN akan ditetapkan pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas beliau (Ketua Menteri) berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” tambahnya.

Justeru, kata Alexander, barisan pemimpin kerajaan negeri yakin diatas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan TYT Sarawak berhubung perkara itu.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Kerajaan Sarawak terus berfungsi seperti biasa biarpun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tamat selepas 6 Jun 2021.

Baginda bertitah Kerajaan Sarawak boleh terus berfungsi seperti biasa sepanjang tempoh darurat diperkenankan baginda melalui pengisytiharan yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini.

“Memandangkan keadaan Covid-19 yang agak membimbangkan, baginda menasihati kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dengan kuasa mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” kata kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini.

Nasihat baginda itu diberikan ketika upacara mengadap secara maya (persidangan video) oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi memaklumkan baginda mengenai tempoh DUN Sarawak dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

DUN Sarawak dianggap sebagai badan pengubal undang-undang ‘tertua’ di Malaysia kerana ia diwujudkan selepas mesyuarat julung kali yang pertama di sebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867 dan ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke.

Pada mulanya DUN Sarawak dikenali sebagai Majlis Umum (General Council) dengan jumlah ahli yang dipilih seramai 21 orang. Ahli-ahli dipilih dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran.

Pada 1903, Majlis Umum Sarawak dinamakan sebagai Majlis Negeri Sarawak.

Pada 1941, anak lelaki Brooke, Vyner, mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai “Constitution Order in Council” sempena sambutan ulang tahun ke-100 pemerintahan Brooke di Sarawak.

Berikutan itu, keanggotaan Majlis Negeri ditambah kepada 24. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Negeri dan bukannya Vyner Brookes (dalam peranannya sebagai Raja).

Pada 1963, keanggotaan Majlis Negeri ditingkatkan kepada 42 dan sejak itu, keanggotaannya telah meningkat secara berperingkat kepada 48 pada 1968, 56 pada 1989, 62 pada 1996 dan 71 pada 2006.

Pada 1976, Majlis Negeri Sarawak diberi nama baharu iaitu Dewan Undangan Negeri Sarawak.
DUN Sarawak telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu Zaman Rajah Putih Keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Tiga anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak adalah di bawah pemerintahan koloni Inggeris.

Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, DUN Sarawak terus bergerak menempuh arus-arus perubahan yang banyak seiring dengan kedudukan negeri ditadbir oleh pejabat tanah jajahan yang berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak.

Zaman kegemilangannya ialah pada 16 September 1963 apabila Sarawak mencapai kemerdekaan selepas rakyatnya memilih untuk bergabung dengan Malaysia.

DUN Sarawak kini turut berubah wajah dengan ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat di negeri ini melalui amalan demokrasi pilihan raya secara langsung.

Lebih menarik, DUN Sarawak juga mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seramai 82 orang ketika ini sekali gus menjadi DUN terbesar di Malaysia.