Malaysia Dateline

PRN Sarawak: Fadillah amal politik bersih

Bakal calon Parti AMANAH Negara, Fadillah Sabali sedia menghadapi mana-mana calon lain yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak nanti.

Menurutnya, walaupun pernah tewas bertanding di kerusi berkenaan pada PRN11 2016 lalu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat di kawasan terbabit.

Katanya, dalam pilihan raya menang atau kalah adalah hakikat yang perlu diterima oleh seorang yang bergelar calon, namun khidmat kepada penduduk dan masyarakat harus diteruskan.

Justeru, katanya, selepas tewas pada PRN11 lalu beliau sentiasa turun padang dalam mengatur program kebajikan bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus mendekati penduduk di kawasan.

“Secara peribadi saya ingin menunjukkan bahawa politik itu tidak semestinya kotor seperti difahami kebanyakan orang.

“Malah, politik seharusnya menyatukan dan bukan untuk berpecah kerana ia mampu dilakukan dengan kaedah yang lurus iaitu bersikap jujur, dan ikhlas dengan matlamat kita berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat dan negara,” ujar beliau ketika diwawancara Malaysia Dateline di Pejabat AMANAH di Kuching hari ini.

Tegasnya, pertembungan dalam pilihan raya sepatutnya tidak dilihat sebagai permusuhan tetapi sepatutnya ia merupakan medan persaingan yang sihat dan positif dalam memposisikan idea, kemampuan serta kesungguhan dalam melaksanakan tugas kepada seluruh masyarakat tanpa ‘pilih kasih’.

“Malah, latar belakang negeri Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum yang tetap hidup secara harmoni dan sentiasa santun ini, menjadikan sikap memperlekeh dan memburukkan kredibiliti pihak lain seperti apa yang berlaku di luar tidak sesuai di sini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Fadillah menjelaskan, sekiranya ada permusuhan, hal itu mungkin timbul kerana sikap pemimpin atau calon yang cuba untuk mengasingkan lingkungan penyokong-penyokong partinya sendiri.

“Demokrasi yang dilaungkan telah membuka peluang untuk setiap parti mengiklankan pendekatan terbaik bagi memberi khidmat kepada rakyat.

“Walaupun hakikatnya sistem pemilihan di Malaysia menetapkan mesti ada menang dan kalah namun bagi saya, kita perlu melihat ruang dan peluang pada sisi yang positif kerana pihak yang disebut sebagai kalah sepatutnya mampu bertindak sebagai pelengkap kepada yang menang.

“Ia mungkin agak pelik, tetapi jika kembali kepada matlamat asal iaitu berkhidmat kepada rakyat dan negara, pastinya mampu menyelesaikan banyak masalah dan meningkatkan keupayaan rakyat di sesebuah kawasan, kerana keadaan ini memberi nilai kepada pemenang untuk berkhidmat dengan lebih baik.

“Namun, kita juga perlu realistik dan saya tidak menafikan bahawa kebanyakan kita telah membesar dengan dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan ada yang baik kita hargai usaha mereka.

“Tetapi masa sama, saya sendiri melihat juga akibat keputusan yang kurang tepat atau projek-projek pembangunan yang dirancang gagal disiapkan dan tidak sempurna kerana sikap pentingkan diri sendiri,” luah beliau lagi.

Maka, daripada itu ujar Fadillah terdapat individu suka menghukum, mencari kesalahan dan ‘mengkambing hitam’ berbanding mencari solusi bersama dengan mendapatkan idea dan cadangan dalam kalangan penduduk.

“Dengan demikian, secara peribadi saya lebih suka mencari jalan penyelesaian berbanding mencari kesalahan dengan tindakan selanjutnya kita serahkan kepada pihak berwajib tanpa perlu memanjangkan isu yang akan mengekang gerak kerja ke depan.

Katanya, segala yang baik atau kurang seharusnya diperbaiki tanpa perlu memburukkan semua pihak.

“Oleh kerana itu, saya sentiasa berpegang dengan kata-kata ayuh lebih baik, hal yang mana sudah baik kita buat lebih lagi agar menjadi terbaik dan mana yang kurang itulah kita baiki.

“Kita berjuang dan berkhidmat kepada rakyat, maka kita perlu sentiasa senyum dan jangan marah-marah kerana kita telah memilih jalan ini demi memberi khidmat kepada seluruh masyarakat,” tambah beliau.