PRN Sarawak: Janji BN tetap tinggal janji

PRN Sarawak: Janji BN tetap tinggal janji

Janji-janji BN untuk melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur di Sarawak dikhuatiri hanya tinggal janji menjelang pilihan raya negeri (PRN) esok memandangkan banyak projek yang dirancang pada pilihan raya umum (PRU) lalu masih tidak terlaksana.

Janji-janji BN untuk melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur di Sarawak dikhuatiri hanya tinggal janji menjelang pilihan raya negeri (PRN) esok memandangkan banyak projek yang dirancang pada pilihan raya umum (PRU) lalu masih tidak terlaksana.

Calon DAP N02 Tasik Biru, Mordi Bimol berkata, pada PRU13, BN telah berjanji untuk membina tiga hospital baharu di Sarawak, iaitu di Sri Aman, Petra Jaya dan Lawas, namun sehingga kini ia masih tidak dibina.

Kali ini, BN kembali memainkan isu sama apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, baru-baru ini membuat kenyataan bahawa ketiga-tiga hospital itu akan dibina bermula tahun ini.

Modi menambah, perkara sama berlaku di Tasik Biru apabila janji BN untuk membina klinik Ibu dan Bayi Stungkor dan menaiktaraf kemudahan di Hospital Daerah Bau sejak 12 tahun lepas masih tidak dikotakan.

“Tanah bagi pembinaan klinik di Stungkor telah dikenal pasti dan diluluskan pada tahun 2004 oleh kerajaan negeri, tetapi tiada tindakan lanjut diambil.

“Sudah masuk 12 tahun dan penduduk Tasik Biru masih menunggu sebuah Klinik Kesihatan Stungkor yang keadaan tanahnya seperti hutan, terbiar tanpa apa-apa pembinaan.

“Adakah klinik itu akan dibina atau tidak? Jika ia akan dibina, bila?

“Sudah tiga pilihanraya umum, iaitu pada 2004, 2008 dan 2013 serta tiga pilihanraya negeri pada 2006, 2011 dan 2016 berlalu, tetapi tapak klinik itu kekal sebagai semak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Mordi, sikap sambil lewa kerajaan BN dalam membina klinik itu jelas membuktikan bahawa kesihatan penduduk di Tasik Biru tidak menjadi keutamaan bagi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Sarawak dari BN.

“Berapa lama lagi kesihatan penduduk Tasik Biru hendak dipermainkan dan digadaikan oleh kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem?

“Adakah semua menteri Kabinet, ahli Parlimen dan Adun BN Sarawak akan menghantar ahli keluarga mereka yang memerlukan rawatan ke Hospital Bau dengan keadaan infrastruktur hospital itu yang begitu daif dan teruk?

“Jika tidak, bagaimana mereka boleh membiarkan rakyat Sarawak menghantar ahli keluarga mereka ke hospital yang tidak lengkap seperti itu?” katanya.

Sebelum ini, Mordi turut lantang menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk serta mendesak kerajaan mengotakan janji untuk projek sekolah di Kampung Apar dekat sini yang terbengkalai sejak 2011.

Dalam perkembangan berkaitan, calon-calon BN terus menabur janji pembangunan sepanjang kempen PRN kali ini.

Calon langsung BN untuk Dun Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, kawasan Engkilili akan melalui fasa baharu pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang sekiranya Dun itu kekal milik BN.

Dr Johnical mahu kira-kira 10,000 pengundi di konstituensi itu kekal menyokong beliau yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Adenan, lapor The Borneo Post.

“Sebagai masyarakat luar bandar pastinya kita masih memerlukan dan dahaga pembangunan terutama daripada aspek pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur selain pendidikan.

“Justeru tidak perlu saya hurai panjang lebar siapa yang dapat membawa semua itu, cukup sekadar saya berkata selagi BN menguasai Dun dan negeri bermakna semua itu akan kita nikmati untuk lima tahun lagi,” katanya ketika berucap pada program ‘walkabout’ bersama pengundi di Rumah Kaunselor Bangkong Maweng di Ensawang 1, Skim Skrang, Kuching.

TAGS