Malaysia Dateline

PRN Sarawak ke 12: Nasib GPS di hujung tanduk

2020 merupakan tahun yang sangat tidak dijangkakan apatah lagi insiden yang membabitkan politik di tanah air.

Bermula ‘Langkah Shereton,’ pada pertengahan Februari lalu, ia sedikit sebanyak telah mempengaruhi iklim politik di Sarawak.

Di awal kejayaaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mencatat sejarah selepas menumbangkan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 2018, sentimen ‘orang Melayu’ diperbodohkan mula dicanangkan.

Tunjang memanaskan sentimen ini ialah sudah semestinya parti yang rasa terlalu ‘perjuangkan’ hak orang Melayu di negara ini iaitu UMNO dan PAS.

Berlarutan ‘Langkah Shereton’, Parti Bersatu yang awalnya bersama gabungan PKR, DAP dan AMANAH dalam membentuk PH telah keluar sekali gus bersekongkol bersama UMNO dan PAS serta serpihan parti BN lain yang secara terang-terangan menolak pilihan rakyat.

Langkah ini diperkuatkan lagi ‘teman tetap mesra’ parti yang berpangkalan di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Maka, dengan gabungan itu, terbentuklah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Ahli Parlimen ‘Katak’ yang melompat ke tebing demi ‘survival’ politik sendiri.

Di Sarawak, GPS yang sebelum itu dilihat ekstrim menolak ‘Parti Malaya’ semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan, akhirnya kembali ‘menjilat air ludah sendiri’ apabila berganding semula bersama UMNO, MIC dan MCA dalam PN.

Tambah kalut, GPS turut menerima keberadaan PAS dalam PN walaupun sebelum ini secara keras mengajak pengundi di negeri ini menolak ideologi pemimpin ‘Pak Lobai’.

Alasan pemimpin GPS ialah Sarawak adalah sebuah negeri yang memiliki pelbagai etnik, budaya dan agama dan amat tidak sesuai dengan karektor PAS yang dilihat terlalu ekstrim bermodalkan agama.

Justeru, slogan ‘Ulun Malaya’ yang dilaung-laungkan GPS ketika zaman PH kini tiada lagi kedengaran dek telah bersama PAS, UMNO dan parti lain dalam BN sejak lebih seabad.

Imbas kembali ketika bersama BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PRS, SPDP dan SUPP adalah parti utama di negeri ini seperti peranan UMNO,MCA dan MIC di Semenanjung Malaysia.

Kelicikan GPS sebagai ‘King Maker’ semasa terbentuknya PN, ibarat memakan diri sendiri apatah lagi berjuang dengan berprinsipkan ‘Sarawak First’ selama 22 bulan pemerintahan PH di Putrajaya.

Justeru, sebaik berkiblatkan PN selepas “Langkah Shereton’, maka hilanglah segalanya laungan ‘Ulun Malaya’ dan ‘ “Sarawak First’.

Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 semakin menghitung hari, gelagat dan kelibat pemimpin GPS dilihat semakin agresif mencatur kedudukan politik mereka.

Janji beberapa projek yang akan, bakal serta dijangka dilaksana sudah menjadi ‘mainan’ dan kiasan di bibir setiap pemimpin GPS apabila turun ke kawasan.

Namun, 57 tahun telah berkuasa sebagai Kerajaan Negeri, masalah infrastruktur terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman begitu jauh ketinggalan.

Maka, tidak hairanlah jika masih ada penduduk di Sarawak hidup tanpa bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya, malah jauh sekali mengecap rangkaian talian internet dalam suasana hari ini.

Hakikatnya, sudah terlalu lama rakyat menderita walaupun Kerajaan GPS mendabik dada menyatakan memiliki rizab kewangan yang kukuh selain mengumumkan belanjawan yang tinggi saban tahun.

Natijahnya, kemudahan rakyat di negeri ini seolah-olah masih sama seperti 57 tahun lalu atau infrastruktur sedia ada umpama melepaskan batuk di tangga.

Kiraan sifar pada PRN11 2016 menyaksikan GPS yang diwakili PBB, SPDP, PDP dan SUPP menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lima kerusi milik DAP manakala tiga lagi disandang PKR. Tetapi kerusi PKR kurang dua kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang dan Ba’kalalan melompat ke parti baharu iaitu PSB.

Dengan melihat situasi politik Sarawak masa kini, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa nasib GPS umpama ‘di hujung tanduk’.

Semangat menukar dan menamatkan pemerintahan parti pemerintah lebih seabad dilihat berkobar-kobar di kalangan rakyat di negeri ini.

Pengundi luar bandar dan pedalaman yang rata-ratanya dihuni masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu kini berani tampil secara terang menolak GPS.

Bagi pengundi Melayu/Melanau pula dilihat kekal selesa bersama pemimpin sedia ada manakala majoriti sentimen pengundi Cina yang kebanyakannya tinggal di kawasan bandar tetap memilih DAP sebagai wadah perjuangan.

Andai benar kiraan ini, maka adalah tidak mustahil pada PRN12 yang diadakan dalam masa terdekat ini akan menyaksikan GPS akhirnya tersungkur jua seperti mana BN tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, 2018.