Malaysia Dateline

PRN Sarawak: Parti bertanding hanya dibenar berkempen di media sosial

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 hanya menggunakan platform media sosial dan media massa sebagai saluran berkempen ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi SPR Sarawak, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sekiranya PRN12 Sarawak dilakukan dalam masa terdekat ini, prosedur standard operasi (SOP) yang ketat bakal digunakan iaitu tiada aktiviti ceramah, walkbout, lawatan rumah ke rumah serta program bersemuka dengan pengundi diadakan.

Beliau berkata, SOP yang ketat turut bakal digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gerik dan Bugaya nanti.

“Kita sedia maklum sekiranya ada pilihan raya pada waktu yang terdekat ini, kita akan mengenakan SOP yang ketat seperti yang akan dibuat di DUN Gerik dan Bugaya kelak.

“Tidak ada ceramah, walkabout, lawatan rumah ke rumah atau program bersemuka dengan rakyat. Justeru, parti-parti yang bertanding hanya menggunakan platform media sosial dan media massa sebagai saluran berkempen.

“Jadi ini satu pendekatan baharu dan masyarakat perlu menerima hakikat bahawa cara berkempen nanti adalah berbeza berbanding sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 ini,” tegasnya.

Beliau menambah, SPR turut meminta pihak yang berwajib untuk memasang alat-alat kelengkapan di kawasan yang kurang mendapat liputan internet terutamanya di kawasan luar bandar bagi memberi ruang kepada parti-parti bertanding berkempen.