PRN Sarawak: Peruntukan besar kerana kenaikan kos logistik, kata Mohd Hashim

PRN Sarawak: Peruntukan besar kerana kenaikan kos logistik, kata Mohd Hashim

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan perbelanjaan yang besar ekoran kenaikan kos logistik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

SPR katanya, bersedia melaksanakan PRN  Sarawak pada bila-bila masa mengikut tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata PRN Sarawak adalah cabaran pertama yang akan dihadapinya sebagai pengerusi baharu SPR bermula 24 Jan ini dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan baik menerusi kekuatan para pegawai SPR yang berpengalaman dan sumber rujukan sedia ada.

Ditanya mengenai perbelanjaan besar yang diperuntukkan oleh SPR bagi PRN Sarawak, beliau berkata ia berikutan kenaikan kos logistik.

Mohd Hashim berkata perbandingan tidak sepatutnya dibuat antara kos perbelanjaan bagi PRN Sarawak kali ini dengan kos pada lima tahun lepas kerana peredaran masa dan peningkatan harga barangan.

“Tempatnya sama, tetapi sewa kenderaan mungkin naik, sewa helikopter naik, makan minum pun naik, itu yang menyebabkan kos itu naik,” katanya sambil menambah ia bukanlah peningkatan yang melampau.

Sebelum ini, Abdul Aziz berkata PRN Sarawak dijangka menelan belanja sebanyak RM181 juta, lebih dua kali ganda kos perbelanjaan pada 2011 iaitu sebanyak RM78 juta.

Selain kos logistik, Abdul Aziz berkata peningkatan itu juga berikutan jumlah kawasan mengundi yang lebih besar dengan mencatatkan penambahan daripada 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini bukan kali pertama SPR mengadakan pilihan raya, sudah lama kita melaksanakan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

“Jadi saya rasa tiada masalah. Kita akan aturkan kerja untuk PRN Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menerima nota serah tugas sebagai Pengerusi SPR daripada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu majlis perpisahan di Ibu Pejabat SPR, hari ini.

 

TAGS