Malaysia Dateline

PRN Sarawak, PRK Batu Sapi terpaksa diadakan kecuali isytihar darurat

Pilihanraya Kecil (PRK) Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember 2020 dan Pilihanraya Negeri Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya terpaksa diadakan sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak.

“Bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihanraya ini sehingga COVID-19 berakhir,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung petang ini.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak boleh menghalang penduduk di Kuching yang mengundi di Samarahan, Sri Aman, Miri, Bintulu dan lain- lain daerah untuk keluar mengundi.

“Begitu juga pengundi Sarawak yang tinggal di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang mencatatkan kes-kes COVID-19 yang tinggi.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mereka pulang mengundi kerana itu adalah hak mereka di bawah Perlembagaan,” katanya.

Justeru, beliau merayu kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak supaya berhati-hati dan mematuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan.

Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihanraya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.