Malaysia Dateline

PRN Sarawak: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya akan datang masih belum dimuktamadkan.

“Garis Panduan Pencegahan Covid-19 bagi tujuan PRN Sarawak Ke-12 sedang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS).

“Ia akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,  pada semalam.

Pada sama sama, Abdul Ghani turut memaklumkan bahawa SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.

“Ia termasuk melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” katanya.

Syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini turut dimansuhkan, kata Abdul Ghani.

Syarat-syarat tersebut adalah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Selain itu, pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan 18 Disember depan sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.