Malaysia Dateline

PRN12: Agihan kerusi AMANAH, PKR Sarawak selesai, tuduhan Iswardy tidak benar

AMANAH Sarawak menegaskan perbincangan agihan kerusi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) telah dibuat melalui perbincangan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) secara rasmi bukannya melalui pintu belakang.

Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak Hud Andri Zulkarnaen berkata, segala pembincangan agihan kerusi PRN12 antara AMANAH Sarawak dan PKR sudah selesai di mana AMANAH bertanding sembilan dun dan enam Parlimen.

“Saya mohon kepada individu ini agar segala persengketaan dan perkelahian antara dia dengan orang diluar sana jangan melibatkan kami AMANAH Sarawak.

“Saya juga meminta jasa baik sekiranya dia mahu mempopularkan diri sendiri biarlah guna tubuh badan sendiri dari menjual nama orang lain yang tiada kena mengena,”katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan dakwaan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang mengatakan AMANAH Sarawak menawarkan satu kerusi kepadanya kerana tidak mempunyai calon serta jentera pilihan raya.

Iswardy turut mendakwa AMANAH Sarawak bakal rebah apabila rundingan membabitkan 10 kerusi untuk PRN12 nanti hanya tinggal dua kerusi sahaja.

Bagaimanapun dakwaan Iswardy itu, kata Hud Andri adalah tidak benar bahkan menafikan AMANAH Sarawak pernah menawarkan secara peribadi kepada beliau mana-mana kerusi ataupun kepada PKR sarawak.

Beliau terus menegaskan bahawa AMANAH Sarawak mempunyai hubungan yang sangat baik dengan PKR Sarawak berserta pimpinannya.

“Kami juga tidak mahu hal pertikaian dia yang tiada kena mengena dengan kami menjejaskan dan merosakan hubungan kami di Sarawak.

“Sekarang Kami semua Fokus menggembleng bertenaga bersama untuk menumbangkan GPS, tiada punya Untuk bermain politik dalaman,” katanya.