Malaysia Dateline

PRN12: AMANAH intai kemenangan di DUN Kabong

Parti AMANAH Negara berazam untuk mengintai kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Keazaman itu disuarakan Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen pada Program Ziarah Kasih di Kampung Kabong hari ini.

Menurutnya, bersandarkan dengan situasi ‘mood’ pengundi di DUN itu mahukan perubahan, adalah tidak mustahil kemanangan mampu dicapai pada PRN12 nanti.

Beliau berkata, masalah beberapa isu termasuk yang paling asas seperti air dan elektrik telah gagal diberi keutamaan yang sewajarnya parti pemerintah iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga kini.

“In shaa Allah…bersama-sama kita berdoa agar kejayaan dan kemenangan mengiringi kita pada pilihan raya yang bakal diadakan bila-bila masa.

“Namun untuk meraih kejayaan itu, yang penting sekali ialah kita mesti berusaha dengan bekerja keras selain kukuh bersatu dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Hud Andri menegaskan, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya, AMANAH Cawangan Kabong akan terus mengadakan program penerangan dan kebajikan di kawasan sekitarnya.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, kita telah pun melaksanakan beberapa program bersama pengundi dan penduduk di sini.

“Justeru, ketika ini kita akan meneruskan kembali program-program itu walaupun hanya berskala kecil.

“Maka, saya berharap agar jentera yang sedia ada dapat menumpukan gerak kerja untuk kerap turun padang bagi menyelami masalah penduduk di sinj,” tambahnya.

Mengenai calon AMANAH di DUN Kabong, beliau memberitahu beberapa nama sudah diterima di peringkat negeri setakat ini.

“Tunggulah, nanti kita akan umumkan siapa calon di sini kerana nama-nama itu akan ditapis di peringkat AMANAH Nasional kelak,” ujarnya.