Malaysia Dateline

Amanah Perak berpandangan nahas tersebut mengejutkan pada ketika semua pihak sedang tertumpu kepada perjalanan pilihan raya negeri Sarawak

PRN12: AMANAH Kuala Rajang bakal diwakili calon anak tempatan

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak Cawangan Kuala Rajang akan menampilkan calon daripada anak tempatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Naili berkata, calon tersebut merupakan seorang yang berpendidikan dan amat dikenali oleh masyarakat dan penduduk di Kuala Rajang.

Majlis Perjumpaan bersama jentera dan ahli AMANAH di Kuala Rajang

Justeru, katanya PRN12 pastinya adalah peluang terbaik untuk AMANAH mencipta sejarah di Kuala Rajang bagi memenangi kerusi tradisi Barisan Nasional yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

“In shaa Allah…sasaran kita pada PRN12 nanti ialah mahu mencipta sejarah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.

“Maka, dengan itu kita bakal menampilkan calon yang amat berkaliber daripada anak tempatan yang sememangnya dikenali di kalangan penduduk dan masyarakat termasuk pengundi di sini,” ujarnya.

Abang Abdul Halil berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama jentera dan ahli AMANAH di Kuala Rajang hari ini.

Menurutnya, AMANAH Kuala Rajang merupakan antara cawangan yang aktif sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -14 lalu, apabila sentiasa turun padang menyantuni penduduk dan pengundi di sekitar kampung.

“Inilah kelebihan kepada kita kerana sentiasa mendekati penduduk dan pengundi selain turut mengadakan program-program kebajikan walaupun hanya berskala kecil.

“Semoga segala yang kita laksanakan itu mampu membawa kejayaan bersama sekali gus berupaya mencapai kemenangan pada PRN12 kelak,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Jawatankuasa AMANAH Sarawak, Dr Abdul Mutalip Abdullah, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita AMANAH Cawangan Kuala Rajang, Abu Tariq dan Rosni Rosli.