Malaysia Dateline

PRN12: AMANAH Sarawak pertaruhkan calon muda, anak tempatan

Sembilan kerusi yang ditandingi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak nanti bakal mempertaruhkan beberapa calon muda dan merupakan anak tempatan.

Menurut Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili, pihaknya telah menerima senarai nama calon terakhir dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya senarai nama itu hanya diumumkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN)dibubar atau selewat-lewatnya dua minggu sebelum hari penamaan calon diadakan.

“Berdasarkan senarai nama yang kami terima, calon AMANAH pada PRN12 kelak akan mengetengahkan beberapa muka baharu di kalangan orang muda dan merupakan anak tempatan.

“Malah, mengikut senarai itu juga, AMANAH turut akan diwakili calon wanita yang mana namanya telah dimohon oleh masyarakat setempat,” jelas beliau.

Abang Halil menegaskan, pihaknya akan memanggil dan berjumpa dengan nama-nama bakal calon berkenaan hujung bulan ini bagi memberi taklimat dan penerangan berkaitan isu-isu semasa.

Mengenai persediaan PRN12, beliau menjelaskan AMANAH Sarawak telah pun mengadakan banyak program berkaitan kebajikan di setiap kawasan di seluruh negeri sebelum ini.

“Alhamdulilah…rata-rata program yang telah dilaksanakan di setiap kawasan DUN mendapat sambutan daripada penduduk dan pengundi.

“Dan, kita akan terus aktif mengadakan program dan aktiviti bagi mendekati pengundi dan masyarakat setempat bersama-sama bakal calon dalam masa terdekat ini.

“Justeru, saya yakin calon AMANAH yang diketengahkan itu nanti mampu membawa suara rakyat di setiap kerusi DUN yang ditandingi kelak khususnya berkaitan isu-isu asas seperti masalah air, elektrik dan jalan raya yang masih tidak diterima oleh sesetengah kawasan di Sarawak,” tambah Abang Halil.

Pada PRN12 Sarawak akan datang, AMANAH akan meletakkan calon di kerusi DUN Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.