Malaysia Dateline

PRN12: AMANAH Sarawak sedia ‘bertempur’

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak bersedia untuk ‘bertempur’ bagi menghdapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang bakal diadakan selewat-lewatnya 2021 nanti.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili berkata,secara jujurnya beliau bersama pimpinan AMANAH Sarawak sudah bersedia sekiranya kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam masa terdekat ini.

Tegasnya, AMANAH Sarawak kini memfokuskan 13 kerusi Dun yang diperuntukkan bersama gabungan dakam Pakatan Harapan (PH) seperti PRN11 yang lepas.

“Ya…kita memang sudah bersedia menghadapi PRN yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

“Justeru, persiapan jentera di peringkat negeri dan kawasan akan lebih dipergiatkan lagi, ” ujar beliau ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu bahawa GPS amat bersedia berhadapan dengan PH andai PRN diadakan dalam masa terdekat.

“Meskipun PH begitu tekad untuk menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Sarawak sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri, GPS tidak akan gentar dengan kewujudannya,” kata Abdul Karim ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching semalam

Sementara itu, Abang Halil turut berkata, barisan kepimpinan negeri yang baharu dipilih Sabtu lalu berazam untuk memantapkan lagi gerak kerja parti antara sesama ahli.

Tambahnya, dengan adunan muka lama dan baru dalam saf tertinggi negeri akan bekerjasama bagi melaksanakan tanggungjawab yang diberikan ahli-ahli parti.

‘In shaa Allah… dengan tujuh muka lama dan dibarisi 11 muka baharu yang dipilih untuk memegang jawatan di peringkat negeri 2019-2022, saya yakin bahawa kami mampu bekerjasama sekali gus berupaya memantapkan jentera parti pada PRN nanti.

“Di samping itu, kami juga akan terus memberi kerjasama erat bersama komponen rakan PH lain iaitu DAP, PKR dan Bersatu dalam menjayakan misi kemenangan kelak, “tambah beliau