Malaysia Dateline

PRN12: AMANAH Sarawak tetap beri tentangan

Walaupun lanskap politik di peringkat Kerajaan Persekutuan telah berubah, namun Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak tetap memberi tentangan hebat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang akan diadakan selewat-lewat Mei 2021.

Setiausahanya, Fadillah Sabali berkata, AMANAH Sarawak tetap memandang serius bagi mencapai kemenangan pada PRN12 nanti khususnya apabila berhadapan dengan Muafakat Nasional terdiri daripada Barisan Nasional,PAS dan Gabungan Parti Sarawak(GPS)yang kini membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, beliau menjangkakan persaingan pada PRN12 di negeri ini adalah getir kerana setiap parti bakal meletakkan calon masing-masing.

“PRN12 nanti amat menarik kerana calon daripada Muafakat Nasional dijangka akan meletakkan calon mereka bersama-sama dengan GPS di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)yang ditandingi.

“Kita (AMANAH Sarawak tidak gentar dengan situasi itu dan bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana calon nanti,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Fadillah menegaskan, berdasarkan situasi yang telah berlaku kini, beliau yakin bahawa parti AMANAH mampu mencatat sejarah meraih kerusi di Dun Sarawak kelak.

Jelas beliau lagi, dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengambil langkah keluar daripada komponen Pakatan Harapan (PH), ia tidak mendatangkan kesan di negeri ini.

Ini kerana, katanya, Bersatu adalah sebuah parti yang dianggap masih baru bertapak di Sarawak berbanding PKR, DAP dan AMANAH.

“In shaa Allah…saya yakin komponen PH yang sedia iaitu PKR, DAP dan AMANAH berupaya mencipta kemenangan pada PRN12 nanti,” ujarnya.

Ditanya senario politik negara ketika ini, beliau berkata, AMANAH Sarawak tetap kukuh dan menyokong kesetiaan kepada pimpinan AMANAH Nasional dalam apa juga keadaan.

Katanya, AMANAH Sarawak turut yakin bahawa kepimpinan AMANAH Nasional memiliki semangat kental dalam menghadapi suasana politik tanah air yang semakin mencabar kini.

“Justeru, saya berharap ahli-ahli AMANAH di negeri ini kekal bertenang dan sentiasa kukuh bersama kepimpinan AMANAH di peringkat nasional,” tambah beliau.