Malaysia Dateline

PRN12: AMANAH Sarawak yakin rakyat akan tolak GPS

Parti AMANAH Sarawak yakin rakyat di negara ini khususnya di Sarawak akan menolak sekeras-kerasnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili, bersandarkan dengan situasi politik masa kini dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut bersama-sama berada dalam PN telah menambahkan resepi penolakan itu.

Katanya, sebelum ini GPS telah memainkan sentimen ‘Ulun Malaya’ di Sarawak, tetapi kini membuka seluas-luasnya membuka pintu untuk bergabung dengan Muafakat Nasional terdiri daripada UMNO, Pas, MCA dan MIC termasuk parti kecil lain.

“Saya nak tanya kepada pemimpin GPS, di mana krebiliti anda apabila sebelum ini menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan parti dari Semenanjung semasa era Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi kini sanggup pula menyokong parti dari Semenanjung malah menghantar senarai nama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menduduki kerusi Menteri di persekutuan,” kata beliau pada Majlis Makan Malam DAP Sarawak di Kuching malam tadi.

Menurut Abang Halil, terserah kepada rakyat di negeri ini untuk menilai sebuah kerajaan yang hanya mementingkan kuasa walapun bersekongkol dengan entiti parti yang gagal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

Tambahnya lagi, walaupun GPS menafikan dengan pelbagai cara menyatakan mereka bukan gabungan dalam pembentukan kerajaan ‘pintu belakang’ ketika ini tetapi hakikatnya rakyat telah mula mengetahui hal yang sebenarnya.

“Rakyat Sarawak tidak bodoh dengan kenyataan penafian itu apatah lagi apabila Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengakui telah menghantar senarai nama Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri untuk lantikan sebagai menteri,” ujar beliau lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung DAP Malaysia, Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Sarawak dan seramai 1,000 ahli DAP di sekitar Kuching.