Malaysia Dateline

PRN12 : AMANAH sedia ‘gempur’ kubu GPS

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak sedia ‘menggempur’ kubu Gabungan Parti Sarawak ((GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, AMANAH akan meletakkan sembilan calon berpotensi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Katanya, antara kubu kuat GPS yang bakal diberi cabaran oleh AMANAH ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

“In shaa Allah, setakat ini saya boleh nyatakan bahawa AMANAH Sarawak akan bersedia menggempur kubu kuat GPS nanti.

” Malah, saya juga yakin calon yang akan ditampilkan nanti mampu mencipta sejarah meraih kemenangan buat pertama kalinya untuk AMANAH Sarawak,” ujar Abang Halil ketika ditemui di Pejabat AMANAH di Kuching, hari ini.

Mengenai isu-isu yang akan diketengah kelak, beliau berkata perkara tersebut akan dibangkitkan oleh setiap calon di kerusi DUN masing-masing.

Ini kerana, menurut beliau setiap DUN adalah berbeza tentang isu yang ditimbulkan walaupun pada dasarnya masalah kemudahan asas rakyat tetap diutamakan.

“Isu utama yang kita bawa ialah masalah kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik serta jalan raya yang masih membelenggu seluruh rakyat di negeri khususnya yang tinggal di luar bandar.

“Begitu juga dengan masalah rangkaian Internet serta infrastruktur lain termasuk jalan – jalan kampung dan jambatan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Abang Halil berharap AMANAH akan berupaya melakukan kejutan sekali gus mencipta sejarah dapat memenangi kerusi DUN di Sarawak pada PRN12 nanti.