Malaysia Dateline

PRN12: Bersatu Sarawak bersedia tandingi 20 kerusi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sarawak bersedia untuk bertanding di 10 ke 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Pengerusi Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf A.Suffian berkata, pihaknya bersedia meletakkan calon di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sekiranya diberi peluang untuk bertanding pada PRN12 nanti.

Bagaimanapun jelasnya, beliau tetap akur dengan segala keputusan yang diambil oleh konsensus parti-parti lain dalam Pakatan Harapan (PH)Sarawak bagi mengagihkan kerusi yang bakal ditandingi sekali gus mampu memenangkan calon PH.

“Secara dasarnya, kami sememangnya mahu bertanding di 10 atau 20 kerusi Dun sekiranya diberi peluang pada PRN12 nanti.

“Namun, kami tetap menerima dan menghormati apa jua keputusan yang diambil oleh rakan lain dalam PH Sarawak untuk pengagihan kerusi yang ditandingi,” ujar beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Menurut Jaziri, Bersatu Sarawak tetap yakin dengan calon-calon PH terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR),DAP dan AMANAH untuk bertanding bagi memburu misi menawan Sarawak pada PRN12.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah parti yang masih ‘muda’ dalam komponen PH di Sarawak, beliau tetap menaruh keyakinan Bersatu akan mampu menyumbangkan kemenangan berdasarkan sokongan yang diterima para penyokong di negeri ini.

“Secara jujurnya, walaupun kita ibarat sebuah parti yang masih baharu bertapak di Sarawak, tetapi saya tetap yakin Bersatu akan mampu memberi cabaran kepada parti lain pada PRN12 kelak.

“Ini bersandarkan gerak kerja yang kami lakukan di peringkat kawasan Dun dan Parlimen dengan mendekati penduduk, masyarakat dan seterusnya para pengundi,” jelas beliau.

Katanya, setakat ini Bersatu Sarawak telah mempunyai seramai 12,000 ahli yang telah berdaftar, 10,000 masih menunggu kelulusan pendaftaran manakala 5,000 lagi bakal menyertai sebagai ahli parti.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Bersatu Sarawak telah berjaya menubuhkan sebanyak 12 bahagian di negeri iaitu Santubong, Stampin, Sri Aman dan Saratok.

“Bahagian lain ialah termasuk Bintulu, Kota Samarahan, Bandar Kuching, Julau, Mukah, Sibuti, Ulu Rejang dan Limbang.

“Kebanyakan ahli adalah dari bahagian yang kita berjaya tubuhkan setakat ini di samping 10 lagi bahagian yang ditubuhkan masih menunggu Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(ROS),” ujarnya.