Malaysia Dateline

PRN12: Bersediakah AMANAH Sarawak?

Adakah AMANAH telah bersedia ‘menggempur’ kubu kuat PBB dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.

Ini persoalan yang perlu dijawab oleh AMANAH apabila parti itu dijangka akan bertanding 13 kerusi dalam PRN kali ini.

13 kerusi DUN yang akan ditandingi AMANAH ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sebuyau, Gedong, Sadong Jaya, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Jemoreng, Daro dan Balingian.

Bagi pemerhati, di atas kertas, peluang AMANAH ‘meragut’ keegoaan parti pemerintah PBB dilihat amat cerah jika dilihat kepada banyak isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri sepanjang duduk di kerusi ’empuk’ DUN Sarawak.

Dan tidak keterlaluan sekiranya dikatakan rakyat di negeri ini khususnya yang tinggal jauh di pedalaman dan luar bandar sudah ‘muak’ dengan janji-janji yang ditabur setiap kali menjelang pilihan raya.

Isunya amat kritikal iaitu masalah air, elektrik, jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kampung-kampung di pedalaman.

Ini belum lagi termasuk isu seperti lampu jalan, kemudahan internet, sekolah daif, dewan kampung dan lain-lain.

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali (GAMBAR) ketika diminta mengulas peluang semua kerusi yang bakal ditandingi tetap optimis untuk meraih kemenangan pada PRN12 kelak.

Beliau berkata, adalah tidak mustahil AMANAH mampu melakukan kejutan di beberapa kerusi yang ditandingi itu nanti.

“Meski diakui kita akan berhadapan dengan parti pemerintah yang telah lama selesa berkuasa di negeri ini, tetapi kami yakin rakyat sudah matang untuk menilai dan memilih kualiti calon bukan semata-mata dengan janji-janji yang diulang-ulang.

“Kebanyakan rakyat yang kami temui secara ‘senyap’ menolak parti pemerintah kerana banyak janji yang ditabur pada musim pilihan raya sebelumnya gagal ditunaikan.

“Setiap kali menjelang pilihan raya, setiap kali juga berjanji bekalan air, elektrik, jambatan, sekolah, klinik dan jalan raya akan dibuat tetapi hakikatnya sehingga sekarang perubahan masih jauh kelihatan di kawasan pedalaman di negeri ini,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Fadillah menegaskan bahawa AMANAH akan membawa isu berkenaan dalam memperjuangkan hak rakyat di luar bandar dan pedalaman di negeri ini pada PRN12 nanti.

Selain itu, katanya AMANAH mempunyai calon-calon yang konsistensi untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan jujur dan bersungguh-sungguh sebagai tawaran yang membezakan dengan parti yang lain.

“Kita tetap bekerja dalam keadaan belum menang, pastinya akan menjadi lebih baik khidmatnya apabila menang kelak,” jelas beliau.

Ditanya cabaran daripada parti pembangkang lain tempatan seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan SEDAR, beliau menjelaskan ia adalah satu persaingan yang amat menarik.

“Mungkin apa yang kami perjuangkan adalah sama tetapi masing-masing mempunyai pendekatan yang berbeza.

“Apa pun, saya yakin peluang AMANAH tetap ada walaupun terpaksa berhadapan dengan tiga, empat atau lima penjuru kelak,” ujarnya lagi.

Jika dikira, rasanya tidak sampai 10 bulan dari sekarang, PRN Ke-12 Sarawak bakal dilangsungkan.

Ini kerana ‘hayat’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ada sekarang semakin hampir ke penghujungnya iaitu selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Maka, hakikatnya DUN bakal dibubar dalam masa 10 bulan ini dengan beberapa parti politik telah mula serius menggerakan jentera masing-masing.

Kali pertama PRN Sarawak diadakan ialah selepas pembentukan Malaysia, dilangsungkan secara berperingkat serentak seluruh negara bermula 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Akibat peristiwa 13 Mei tahun sama di Semenanjung diikuti pengisytiharan darurat, pilihan raya ditangguhkan sehingga diadakan semula pada 6 Jun 1970 dan selesai pada 4 Julai 1970.

Empat tahun kemudian, PRN kedua masih diadakan serentak dengan Semenanjung, bermula 24 April hingga 14 September 1974, diikuti pilihan raya negeri seterusnya pada 1979.

Berdasarkan sejarah 11 pilihan raya negeri terdahulu, PRN-12 tidak mustahil boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang atau mungkin Abang Johari mahu memilih melengkapkan penggal DUN yang diwarisinya daripada Allahyarham Tok Nan genap lima tahun, iaitu sehingga Jun tahun depan.

Mengambil kira situasi terkini dan ditambah kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Khamis lalu yang memberi bayangan PRN12 bakal diadakan bila-bila masa, ia seharusnya diambil perhatian daripada parti-parti lain termasuk AMANAH.

Ketiadaan Parti Pribumi Bersatu yang keluar daripada komponen Pakatan Harapan (PH) tidak pun merubah pembahagian kerusi yang telahpun sedia ada antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di negeri ini.

Bagi AMANAH, 13 kerusi yang bakal ditandingi merupakan kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera serta kubu kuat parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB).

Namun menariknya nanti ialah PRN12 akan menyaksikan pertembungan parti lain dalam kerusi yang ditandingi.

Justeru, tidak mustahil jika dikatakan pertembungan bukan setakat 3, 4 penjuru malah ada kemungkinan sampai tujuh ke 10 penjuru.

Ini bersandarkan ‘tumbuhnya’ parti-parti baharu seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Sedar dan belum lagi parti yang sememangnya sudah lama wujud termasuk calon-calon yang tiada berparti (Bebas).