Malaysia Dateline

Pas Sarawak mencuba nasib di 11 kawasan Dun dalam PRN Sarawak tidak berapa lama lagi

PRN12: Di mana Pas Sarawak atau sekadar jadi ‘pencacak bendera’?

Selepas beberapa musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, Parti Islam SeMalaysia (Pas) dilihat tidak pernah ketinggalan meletakkan calon untuk bertanding di negeri ini.

Bagaimanapun, untuk PRN Ke-12 yang bakal dilangsungkan pada bila-bila masa, Pas disahkan tidak akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak nanti.

Ini dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing selepas pertemuan bersama pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Masing dipetik sebagai berkata bahawa pimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta agar Pas dan Bersatu tidak meletakkan calon mereka pada PRN12 nanti.

Maka, dengan persetujuan itu secara dasarnya Pas dan Bersatu hanyalah sebagai pemerhati atau mungkin setidak-tidaknya sekadar menjadi ‘pencacak bendera’.

Sebelum ini, Pas merupakan antara parti yang memiliki pengaruh amat tinggi di kawasan majoriti Melayu-Melanau Islam di negeri ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Saribas, Kalaka, Lingga, Kuala Rajang, Semop, Lambir dan Bekenu antara kawasan yang berpotensi untuk PAS meletakkan calon kerana di sini pengundinya adalah majoriti Melayu-Melanau Islam.

PAS turut dilihat berpotensi untuk meraih salah satu kerusi tersebut, sekiranya turun bertanding atau berupaya mengurangkan undi majoriti parti lawan.

Namun, keputusan pemimpin tertinggi PN yang bersetuju agar Pas tidak bertanding di Sarawak kali ini sedikit sebanyak mengecilkan hati para penyokong mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika ada desus-desus menyatakan bahawa terdapat ahli-ahli Pas di negeri ini mengambil keputusan keluar parti beramai-ramai dalam masa terdekat ini.

Terdapat mereka yang mempersoalkan pemimpin Pas peringkat negeri yang hanya berdiam diri dengan keputusan tidak meletakkan calon.

Ramai antara penyokong menggesa agar pemimpin negeri dan pusat meminta kepada rakan gabungan iaitu GPS supaya diperuntukkan dua atau tiga kerusi pada PRN12 kelak.

Ini kerana, PRN12 kali ini dilihat sebagai medan terbaik PAS mencatat sejarah berjaya menawan kerusi di DUN Sarawak sekali gus mampu membawa suara umat Islam di negeri ini.

Tetapi, ketiadaan calon Pas yang bertanding akan membuka peluang kepada parti lain yang lebih bersederhana seperti AMANAH.

Mungkin juga kerana ketiadaan calon Pas bakal menyaksikan penghijrahan beramai-ramai penyokong mereka ke AMANAH dalam masa terdekat ini.

Ini disebabkan, mereka melihat AMANAH adalah sebuah parti yang berprinsip tatkala berlaku pertukaran kerajaan di persekutuan Mac lalu.

Dan tidak keterlaluan juga jika dikatakan ramai ahli dan penyokong Pas di Sarawak turut tidak menyokong apa yang berlaku ketika drama ‘Langkah Shereton’ lalu.

Apa pun, sejauh mana tindakan penyokong Pas di Sarawak hanya diketahui pada PRN12 kelak kerana ramai di kalangan mereka masih menanti sebarang kenyataan daripada pemimpin tertinggi di negeri ini.

Jika benar tidak bertanding, maka benarlah apa yang diluahkan oleh para penyokong mereka bahawa Pas Sarawak telah terkubur sebelum turun ‘bertempur’