PRN12 diawalkan, GPS tutup peluang 125,000 Undi18

Oleh NASUHA RAHMAN

Keputusan kerajaan negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyegerakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 dilihat telah menutup ruang seramai 125,000 pengundi muda di negeri ini.

Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii berkata ia berikutan penarikan Perintah Darurat di Sarawak lebih awal seperti yang dijadualkan sehingga 2 Februari tahun depan.

“Ini bukan sahaja tidak menghormati, tetapi juga melulu dan tidak bertanggungjawab kerana ia sengaja melucutkan peluang lebih daripada 125, 000 belia kita untuk menyertai PRN12 yang akan datang.

“Hakikatnya, kami mempunyai kelebihan untuk memerhati dan membuat penilaian yang sewajarnya tentang potensi penularan akibat Covid-19 pada PRN Melaka nanti.

“Ternyata pertimbangan politik telah mengatasi kebimbangan kesihatan pada PRN12 kelak, “ujarnya dalam satu kenyataan.

Dr Kelvin menjelaskan sebenarnya tiada justifikasi rasional untuk pemimpin GPS mendesak Yang di-Pertuan Agong menarik balik Darurat di Sarawak yang dijadualkan berakhir dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Malah, tegasnya lagi melihat kepada apa yang berlaku pada PRN Sabah lalu, peningkatan kes Covid-19 adalah begitu membimbangkan.

“Ingat pada masa ini situasi Covid-19 kita masih jauh dari ideal dengan kadar yang masuk di wad kecemasan (ICU) serta kadar kematian bagi setiap penduduk Sarawak adalah antara yang tertinggi di negara ini.

“Ini adalah sangat berbahaya dan seolah-olah PRN12 nanti bakal menjadi ‘peristiwa penularan yang paling hebat’.

“Ini juga mungkin membawa kita kembali ke masa di mana doktor perlu memilih siapa yang perlu dirawat dan siapa yang tidak dirawat lagi dan dalam senario yang lebih teruk, boleh mengakibatkan lebih banyak kematian,” soal Dr Kelvin.

Justeru, katanya adalah tidak bertanggungjawab untuk meletakkan barisan hadapan dalam situasi sedemikian yang bermati-matian mempertahankan nyawa pesakit.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa beberapa pemimpin GPS telah tampil untuk mewajarkan tindakan sedemikian termasuk menyatakan ini adalah untuk menegakkan demokrasi sedangkan apa yang mereka lakukan sekarang adalah penindasan pengundi kerana ia bukan sahaja menafikan pengundi muda Undi18 tetapi akan mengadakan pilihan raya dalam pandemik masih belum terkawal.

“Dengan demikian ia juga akan mengakibatkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah sekali gus bertentangan dengan semangat demokrasi di negara ini.

“Bagi GPS , kebimbangan seperti ini tidak diambil kira. Apa yang kelihatan lebih penting ialah kelebihan politik yang mungkin mereka miliki, walaupun dengan mengorbankan keselamatan dan kesihatan rakyat di Sarawak,” kata Dr Kelvin.