Malaysia Dateline

PRN12: DNA BN sebati dalam jiwa GPS

Tidak dinafikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah antara parti yang masih lagi tebal dengan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) dalam Barisan Nasional (BN).

Walapun kini bersama Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, Bersatu Tan Sri Muhyiddin, Pas, MIC dan MCA serta serpihan PKR Azmin Ali, namun DNA BN tetap sebati di jiwa dalam kalangan pemimpin GPS itu sendiri.

Bayangkan hampir 50 tahun lebih bersama dalam gabungan BN, GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), SUPP, PRS dan PDP, diakui amat sinonim dengan BN oleh kebanyakan rakyat Sarawak ketika ini.

Meski GPS memiliki otai-otai politik di Bumi Kenyalang yang berpengalaman dalam mentadbir negeri lebih 50 tahun lalu, hakikatnya GPS itu sendiri sangat mentah dan belum teruji lagi untuk berhadapan di kertas undi rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Menariknya, GPS muncul akibat kegagalan untuk menerima hakikat bahawa kekalahan BN dalam PRU ke-14 pada 2018.

Sebaik BN tumbang di Putrajaya, GPS mengambil sikap ‘tidak mesra” bersama Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Dengan meniupkan sentimen ‘Ulun Malaya’, dan menguar-uarkan slogan ‘Sarawak first’, pemimpin-pemimpin GPS umpama berlagak ‘hero’ dan seolah-olah baru tersedar selepas hampir 57 tahun menerajui pemerintahan negeri.

Bagaimanapun, rakyat Sarawak tidak buta dengan sejarah kerana sepanjang 57 tahun itulah hak ‘wilayah’ negeri ini terhakis ekoran tindakan daripada kalangan pemimpin mereka terdahulu.

Justeru, laungan memperjuangkan hak Sarawak bersama PN yang dikatakan lebih memahami keperluan rakyat adalah retorik semata-mata demi meraih sokongan.

Pemimpin GPS lupa bahawa Kerajaan PH sebelum ini telah membuka peluang mengangkat status Sarawak yang diturunkan pada 1976 kembali ke kedudukan asal.

Ternyata, pemimpin-pemimpin GPS sendiri menafikan peluang yang terbuka luas untuk dilihat sebagai hero rakyat Sarawak ketika pemerintahan PH sepanjang 22 bulan.

Meniti drama ‘Langkah Shereton’ Mac lalu telah benar-benar menunjukkan siapa pemimpin GPS sebenarnya.

GPS hanya bersama sejumlah 111 Ahli Parlimen PN dibandingkan 109 Ahli Parlimen PH dan Bebas di Dewan Rakyat ketika ini.

Ia jelas menggambarkan betapa lemahnya daya mengira pimpinan GPS apabila sekadar berpuas hati dengan majoriti yang tipis sedangkan jika berpihak kepada PH, mereka sendiri telah menjadikan jumlah yang selesa untuk membentuk kerajaan dengan bilangan kerusi sebanyak 127.

Dengan kedudukan yang selesa itu, GPS sebenarnya boleh ‘demand’ apa sahaja demi kebaikan rakyat Sarawak.

Tetapi dek kerana tindakan GPS yang gagal merebut peluang telah memberi kesan kepada PBB selaku ‘Abang Besar’ di Sarawak dalam masa terdekat ini.

Mungkin ramai masih menganggap bahawa PBB merupakan parti yang paling kukuh dalam GPS, malah mampu menang walaupun sekadar diletakkan sesiapa pun sebagai calon.

Tetapi, harus diingat juga pada PRN12 kelak PBB bakal menggunakan logo ‘burung’ dan bukannya ‘dacing’ seperti pada semua PRN yang dihadapi sebelumnya.

Untuk rekod, sebanyak 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)pada PRN12 akan datang.

Lantas, dengan beberapa isu yang masih membelenggu sama ada di negeri dan di peringkat nasional, adalah tidak mustahil dikatakan bahawa GPS kini sedang menyelusuri langkah berliku pada PRN12 kelak.