Malaysia Dateline

PRN12: GPS kian tersepit

Kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat kian tersepit dan tidak selesa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)Sarawak Ke-12 yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

GPS terdiri daripada empat parti politik iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dengan pelbagai janji yang ditaburkan kepada rakyat dan pengundi ketika ini, telah membuktikan bahawa GPS semakin terdesak untuk mencari sokongan.

Pelbagai isu masalah rakyat yang gagal diselesaikan sepanjang berkuasa hampir 57 tahun menyebabkan pengundi amat ‘muak’ dengan segala janji yang ditabur selama ini tidak ditepati.

Untuk rekod, jenama GPS hanyalah sekadar retorik semata-mata kerana ‘produknya’ tetap sama iaitu PBB yang sebelum ini begitu erat bersama Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan.

BN pula terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan parti-parti kecil yang berpangkalan di Sabah dan Sarawak.

Di Sarawak, PBB merupakan ‘abang besar’ kepada PRS, SUPP dan PDP.

Ekoran kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2016, PBB, SUPP, PRS dan PDP mengumumkan keluar daripada gabungan BN dan membentuk GPS.

Pada masa sama, GPS turut menolak kerjasama bersama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

Alasannya, pemimpin-pemimpin GPS mahu berjuang tanpa melibatkan parti dari Semenanjung Malaysia.

Maka, dengan itu mulalah pemimpin mereka memainkan sentimen ‘Ulun Malaya’ dan ‘Sarawak diutamakan’ untuk dimomokkan kepada rakyat di negeri ini.

Sepanjang 22 bulan sentimen itu bergema di segenap penjuru Bumi Kenyalang, lantas setiap kali itu juga GPS rancak turun memperkenalkan logo baharu mereka itu.

Tiada lagi lambang ‘Dacing’ dikibarkan tetapi logo yang mirip menyerupai seekor burung telah diketengahkan.

Tujuannya ialah pada PRN12 ini nanti, pengundi sudah tahu bahawa logo burung berkenaan adalah GPS dan bukannya dacing lagi.

Namun, ‘Langkah Shereton’ benar-benar telah menampakkan ‘hipokritnya’ GPS apabila bersekongkol dengan Bersatu Tan Sri Muhyiddin, PKR Azmin Ali, PAS, MCA dan MIC membentuk kerajaan baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

Ibarat ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ maka ramailah bekas-bekas menteri daripada kalangan pemimpin GPS diberikan jawatan di Putrajaya semula oleh PN.

Kelunakan jawatan di Putrajaya seakan-akan memudarkan slogan ‘Ulun Malaya’ apatah lagi apabila duduk ‘berkasih’ bersama PAS dan Bersatu Tan Sri Muhyiddin di dalam PN.

Inilah karektor sebenar pemimpin GPS yang dilihat menjilat air ludah sendiri selepas bermati-matian menolak parti dari Semenanjung 22 bulan sejak PH menumbangkan BN.

Justeru, sebagai pengundi dan rakyat di negeri ini telah menyaksikan karektor sebenar yang ditunjukkan oleh pemimpin GPS.

Apa yang telah dan bakal dilakukan GPS sebelum menjelang PRN12 nanti, rasanya terlalu mudah diketahui keseluruhan pengundi.

Dengan pelbagai program yang berimpak besar dan kecil diadakan, selain mengumumkan projek-projek berskala besar ketika ini umpama ‘menanam tebu di tepi bibir’.

Rata-rata pengundi sudah muak dengan janji-janji yang ditaburkan sebelum beberapa PRN lalu masih gagal ditunaikan.

Tetapi yang pasti, papan tanda projek didirikan sebagai simbolik dan selepas itu PRN akan datang masih sama ibarat menanti ‘bulan jatuh ke riba’.

Masalah yang paling kritikal dihadapi rakyat di luar bandar dan pedalaman ialah bekalan air bersih, elektrik, jambatan dan jalan raya.

Bayangkan 57 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia, dengan PBB kekal berkuasa hingga hari ini masalah air dan elektrik, serta jalan raya tetap menjadi isu utama.

Belum lagi isu lain seperti jambatan, sekolah, klinik termasuk rangkaian internet serta kebajikan rakyat keseluruhannya.

Walaupun terdapat ada usaha yang dilakukan itu, namun misinya tetap gagal meyakinkan pengundi pada PRN12 kelak.

Andai itu yang berlaku, ini bermakna para pemimpin GPS akan tersepit di sebalik isu yang dicanangkan selain istilah ‘Ulun Malaya’ bakal terkena di batang hidung sendiri.