Malaysia Dateline

PRN12: Jangan sampai ‘katak’ melompat di belakang pintu

Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak bakal diadakan pada bila-bila masa.

Persediaan parti-parti yang bakal bertanding dan meletakkan calon di setiap 82 kerusi Dewan Undangan Negeri semakin terserlah sejak akhir-akhir ini.

Parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut dilihat semakin agresif dengan Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengarahkan bala tenteranya (Ahli Dewan Undangan Negeri) serta jentera-jentera parti sentiasa turun padang.

Parti tempatan lain seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), SEDAR, GASAK termasuk parti yang berpangkalan di Semenanjung iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), AMANAH dan DAP turut tidak kurang hebatnya memulakan persiapan.

Secara asasnya, semua parti itu adalah menyasarkan anak panah yang sama kepada GPS pada kali ini sekali gus memastikan parti pemerintah itu tumbang seperti yang dialami UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 2016 lalu.

Bagaimanapun, PSB dilihat antara parti yang dominan diangkat sebagai pesaing utama kepada GPS pada PRN12 kali ini.

Sebagai parti tempatan yang mempunyai sokongan kewangan yang kuat, PSB dianggap sebagai ‘suara’ rakyat Sarawak yang selama ini hilang kerana parti lain lebih berjuang dengan sentimen nasional.

Walaupun diketuai oleh seorang pemimpin berbangsa Cina yang didokong oleh keahlian majoritinya Dayak, PSB tidak dikenali sebagai parti rasis kerana ia adalah parti yang terbuka untuk semua kaum.

Meski dipimpin oleh ‘otai’ politik tetapi pada masa sama penerimaan di kawasan Melayu-Melanau dilihat nampak masih ‘suam-suam kuku’.

Pimpinan mereka seolah-olah mendabik dada bahawa merekalah pejuang sebenar, namun hakikatnya ia adalah sekadar mengisi peluang demi kepentingan peribadi kerana di kalangan mereka hanya muncul pada saat mendatangnya musim pilihan raya sedangkan selama ini hilang entah ke mana.

Jika melihat karekter Presiden PSB sendiri yang terbuang daripada parti asal iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kemudian masuk Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang kemudiannya membuka Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dijenamakan dengan nama PSB sekarang telah menggambarkan keadaan ketidakmampuannya mengemudi parti dengan baik.

Malah tanpa ragu-ragu, PSB berkemungkinan hanya sekadar parti satu kali pilihan raya andai ia tidak mampu mencapai kemenangan seperti yang disasarkan nanti.

Ini kerana, disebabkan boleh jadi penaja parti ini menarik diri daripada terus melabur.

Menambahkan retoriknya ialah apabila presidennya cuba untuk membawa isu berkaitan membaiki kualiti hidup dan ekonomi tetapi malangnya beliau sendiri pernah berada dalam kerajaan dan tidak mampu mengubah apa-apa.

Justeru, sejauh manakah orang Melayu-Melanau akan mendapat tempat dalam kepimpinan PSB di peringkat negeri ketika ini?

Dan adakah kedudukan mereka sekadar sebagai pelengkap umpama ‘pelangi’ yang datang sekejap di kala hujan’ atau mungkinkah giliran Sarawak bakal dilanda fenomena ‘katak melompak di belakang pintu’ pada PRN12 kelak.