Malaysia Dateline

PRN12: Muhyiddin serah kepada GPS tentukan pembahagian kerusi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan ada perbincangan berkenaan agihan kerusi antara Kerajaan Perikatan Nasiaonal dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.

Justeru, beliau menyerahkan kepada budi bicara Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta pimpinan (GPS) di Sarawak untuk membuat keputusan nanti.

“PRN-12 Sarawak dijangka diadakan tidak lama lagi, apa yang lebih penting bukannya soal pembahagian kerusi namun kemenangan besar GPS sebagai rakan PN.

“Untuk Parti Pribumi Bersatu, Pas, kita akan memberikan sokongan sepenuhnya, itu yang penting. Tidak ada perpecahan, kerjasama … ada kerusi atau tidak itu soal kedua, yang penting kita nak tentukan kemenangan besar kepada GPS kelak,” tegasnya.

Berkaitan kerusi Bersatu ketika ini diwakili oleh Datuk Ali Biju sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian sama ada bertanding pada PRN-12 nanti, beliau mengegaskan sebagai rakan sepejuangan, apa pun keputusan yang hendak dibuat perlu atas kefahaman yang sama.

“Yang penting ialah mendapatkan sokongan padu daripada pengundi supaya Kerajaan Negeri dapat dibentuk semula seboleh mungkin dan lebih banyak kerusi dapat dimenangi,” ujarnya lagi.