Malaysia Dateline

PRN12: Parti Sedar pertaruhkan 82 calon

Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) bakal meletakkan calon di semua 82 kerusi dipertandingkan di Dewan Undangan Negeri (Dun)Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.
Menurut jurucakapnya, setakat ini Parti SEDAR sudah ada senarai awal calon-calon untuk 34 kerusi dan bersedia memberi peluang kepada mana-mana individu yang berminat untuk bertanding di atas platform parti berkenaan untuk 48 kerusi lagi .
Katanya, langkah terbuka tersebut dilaksanakan memandangkan PRN12 dijangka akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.
“Mengikut perancangan, kita akan mempertaruhkan kesemua calon di 82 kerusi yang dipertandingkan nanti.
“Justeru, setakat ini kita telah pun mengenal pasti calon-calon yang berpotensi di 34 kerusi Dun manakala bakinya akan dimaklumkan kemudian,” ujar beliau di Kuching hari ini.
Beliau menegaskan, untuk kerusi Dun yang sudah kenal pasti calon ialah Opar, Tasik Biru, Semariang, Satok, Batu Lintang, Batu Kitang,  Asajaya, Mambong, Tarat, Kedup, Bukit Semuja, Gedong, Balai Ringin dan Simanggang.
Turut dikenal pasti Dun Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Kalaka, Kabong, Ngemah,  Nangka, Telian, Balingian, Tamin, Kakus, Murum, Jepak, Kemena, Samalaju, Bekenu, Marudi, Mulu, dan Batu Danau.
“Sementara, 48 kerusi yang belum disenaraikan, kita akan memilih untuk membuat jemputan terbuka kepada yang berminat bagi mewujudkan sistem pemilihan calon terbaik dalam masa terdekat ini.
“Ini juga bagi memastikan tiada sebarang unsur politik wang, nepotisme dan kronisme dalam menamakan calon yang bakal bertanding kelak.
“Dengan demikian, kami menjemput kepada mana-mana pihak dari semua kaum yang bersedia menawarkan diri untuk bertanding dalam PRN12 nanti dapat mendaftarkan diri bersama parti kami sekali gus menjadi calon dengan menghantar ‘Surat Minat’ beserta ‘resume’ ke pejabat SEDAR atau pun melalui email : [email protected],” jelasnya.
Beliau menambah, senarai akhir calon yang dilulus oleh Parti untuk semua 82 kawasan akan diumumkan pada masa yang sesuai nanti.