Malaysia Dateline

PRN12: Peluang AMANAH menang di Sarawak cerah

Peluang Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang bakal diadakan selewat-lewatnya Jun depan adalah dilihat cerah.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak Fadillah Sabali, dengan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi nanti, ia adalah tidak mustahil untuk AMANAH mencipta kemenangan khususnya di kerusi yang pengundinya majoriti Melayu dan Melanau Islam.

Katanya, ini ditambah lagi calon-calon yang bakal mewakili AMANAH pada PRN12 nanti merupakan anak muda dan tempatan selain amat dikenali di kawasan yang ditandingi serta sentiasa turun padang dalam apa jua program yang dianjurkan.

“In shaa Allah…saya yakin pada PRN12 kali ini kita berupaya memberi cabaran kepada parti pemerintah iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah lama selesa memimpin Kerajaan Negeri.

“Bukan setakat memberi cabaran, malah kita optimis bahawa AMANAH Sarawak akan mampu melakukan kejutan mencipta kemenangan walaupun hanya bertanding di sembilan kerusi DUN kelak,” ujar beliau ketika diminta mengulas peluang AMANAH pada PRN Sarawak yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Pada PRN kali ini, AMANAH Sarawak akan meletakkan calon di kerusi DUN Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Fadillah menegaskan, Gabungan Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang terdiri daripada AMANAH, Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah sebulat suara bersetuju dengan agihan kerusi yang ditandingi selepas mengadakan perjumpaan semalam.

“Ini berita yang amat baik kerana kami dalam PH Sarawak telah bersama-sama mengambil ketetapan dan bersetuju dalam isu pengagihan kerusi sekali gus menggelak pertembungan antara satu sama lain bagi menghadapi PRN nanti.

“Dan, saya telah terlibat secara langsung dalam perbincangan agihan kerusi ini pada mesyuarat semalam. Justeru, saya boleh katakan ia tidak mudah kerana setiap parti perlu realistik dan kesediaan untuk berkorban demi peluang kemenangan yang lebih tinggi untuk PH.

“Maka, dengan itu saya melihat peluang PH untuk memenangi lebih banyak kerusi DUN pada PRN12 nanti adalah cerah berbanding PRN11 2016 lalu,”jelasnya.

Katanya, beliau sendiri berpotensi bertanding di DUN Semop memandangkan pernah menjadi calon di kawasan tersebut pada PRN11, malah amat mengenali penduduk dan masyarakat di kampung sekitarnya.

“Seperti sedia maklum, walapun logo GPS masih baharu, namun mereka mempunyai jentera parti di setiap kampung. Begitu juga dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dikatakan memiliki sumber kewangan yang banyak dan mampu menarik minat pengundi.

“Bagaimanapun, kedua-dua faktor itu tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus berusaha sekuat mungkin bagi menyantuni penduduk di DUN Semop sejak tewas 2016 lalu sehingga kini,” tambah Fadillah lagi.