Malaysia Dateline

PRN12: Pemuda AMANAH Sarawak kekal perjuangkan hak rakyat

Pemuda AMANAH Sarawak tetap kekal teguh bersama pimpinan AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) negeri dalam memperjuangan nasib dan hak rakyat marhaen agar terus terbela.

Ketuanya, Abu Tariq berkata,  pihaknya menolak dan mengeji sikap wakil rakyat mahupun parti politik yang membelakangkan mandat rakyat yang semakin serius ketika ini.

“Jika parti politik mengabaikan hal ini, kita gusar keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya akan semakin luntur.

“Pilihan raya adalah ruang rakyat memilih wakil rakyat. Setiap undi datang dengan harapan agar wakil rakyat menjadi semak dan imbang demi kelangsungan dasar yang sejahtera buat rakyat dan negara,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Sarawak menyeru kepada anak-anak muda yang layak mengundi dan belum disahkan sebagai pemilih mengambil peluang mendaftar secepat mungkin.

Ini kerana, jelas Abu, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) hanya menunggu masa sahaja untuk dibubarkan.

“InshaAllah, pada PRN12 ini, bersama-samalah kita memilih sebuah kerajaan yang berupaya menyelesaikan isu pembangunan asas dan meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak.

“Akses perhubungan dan pengangkutan yang meluas dan capaian internet yang stabil adalah keperluan pada zaman ini.

“Maka, dengan ini Pemuda AMANAH Sarawak yakin akses itu akan membuka kepada peluang-peluang baharu sama ada ekonomi, pekerjaan dan pendidikan kepada anak negeri,” ujarnya.

Untuk rekod, PRN-12 merupakan gelanggang pertama buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

GPS yang terdiri daripada gabungan empat parti pemerintah Sarawak ketika ini bakal berdepan saingan BN yang sebelum ini menguasai kerajaan negeri itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abu berkata, segala kemudahan dan pembangunan asas berkenaan sepatutnya sudah lama dirasai oleh rakyat Sarawak tetapi ia dilambat-lambatkan dan sebahagiannya gagal sehingga perkara itu dijadikan modal untuk memancing simpati dan undi rakyat.

Sehubungan itu, tambahnya, Pemuda AMANAH Sarawak akan terus mengorak langkah bersama-sama PH negeri dalam mendepani Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRN-12 nanti,” tambah Abu lagi.