Malaysia Dateline

PRN12: Pemuda Pakatan Harapan Sarawak saran awalkan umum calon

Pakatan Harapan(PH) Sarawak harus segera memuktamadkan beberapa perkara makro bagi mendepani Pilihan Raya Negeri(PRN)Sarawak Ke-12 akan datang.

Menerusi kenyataan bersama Pemuda PH Sarawak, mereka memohon untuk memuktamadkan segera calon-calon yang akan bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)pada PRN-12 nanti.

Kenyataan itu turut menggesa PH Sarawak melantik Penyelaras Parlimen untuk memperkuatkan gerak kerja dan bekerjasama rapat dengan calon di Dun masing-masing sekali gus memastikan kemenangan PH Sarawak.

“Malah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pengurusan (MPKKP)harus segera bergerak sebagai akar umbi Kerajaan Persekutuan dalam menerangkan polisi, insentif dan dasar kerajaan.

“Segala permasalahan dan kebajikan rakyat juga mesti sampai kepada agensi pelaksana. Justeru, peranan MPKKP akan menyediakan saluran ini akan menterjemahkan prinsip kerajaan dari rakyat untuk rakyat,” kata kenyataan itu di Kuching hari ini.

Kenyataan bersama itu adalah daripada Ketua Pemuda AMANAH Sarawak, Abu Tariq, Ketua DAPSY Sarawak, Mordi Bimol dan Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam.

Tambahnya lagi, inisiatif, dasar dan polisi untuk rakyat yang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat wajar dihebahkan sama ada melalui media cetak, bertulis, media perdana dan media sosial.

Di samping itu, katanya ia menjadi satu keperluan PH Sarawak mempunyai sebuah ‘task force’ Penerangan dan Komunikasi dalam melaksanakan agenda tersebut.

Sehubungan itu, kenyataan berkenaan menegaskan segala keputusan harus diputuskan dalam Mesyuarat PH Sarawak dengan prinsip menghormati konsensus bersama.

“Prinsip inilah yang harus dijunjung kerana inilah yang mendirikan PH sebagai sebuah kerajaan pada hari ini.

“Suatu ketika, kita adalah pembangkang di sebuah negara bernama Malaysia, namun dek kerana kesatuan dan toleransi, kita diangkat menjadi Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Maka, dalam konteks Sarawak, kita masih belum berkuasa di negeri inj. Justeru, prinsip yang sama harus dipegang jika kita mahu menawan Sarawak,” jelas kenyataan itu.