Malaysia Dateline

PRN12: PH Sarawak terbuka bekerjasama dengan PSB

Pakatan Harapan (PH) Sarawak sedia bekerjasama dengan Parti Bersatu Sarawak (PSB) bagi menghdapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak nanti.

Menurut Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, perkara itu akan dibincangkan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Pergerakan Bersyarat (PKPB)ditamatkan di negeri ini pada 14 Februari depan.

Katanya, rundingan kerjasama yang bakal diadakan ialah berkaitan peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan setakat ini telah ditentukan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di 47 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 26 kerusi dan Parti AMANAH Negara dengan sembilan kerusi.

“Sekiranya kerjasama itu tercapai, maka 30 peratus daripada konstituensi negeri masing-masing akan dipertandingkan oleh DAP, PKR dan PSB di samping AMANAH bakal bertanding di 10 peratus daripada 82 kerusi DUN.

“Oleh demikian, ada sedikit pengubahsuaian akan dilakukan dalam peruntukan kerusi setiap parti gabungan PH kerana kita tidak mahu seperti yang berlaku dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang didominan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

“Ini kerana, menjadi parti politik dominan dalam satu gabungan suatu yang tidak sihat dan sekiranya PSB sedia bekerjasama dengan PH, kita seharusnya menggunakan formula ‘3+3+3+1’ bagi melaksanakan pembahagian kerusi DUN nanti,” jelas beliau menerusi pautan Facebooknya semalam.

Justeru, tegas Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak, PH sentiasa terbuka bekerja sama dengan mana-mana parti pembangkang lain yang memiliki integriti serta berupaya mewujudkan satu formula kata sepakat pada PRN12 kelak.

“Dengan berpegang kepada prinsip kerajaan yang bersih, adil dan saksama, ruang sentiasa ada untuk bekerjasama dan paling penting dalam aspek peruntukan kerusi, ” tambah beliau lagi.