PRN12: PH Sarawak tubuh Jawatankuasa Agihan Kerusi

PRN12: PH Sarawak tubuh Jawatankuasa Agihan Kerusi

Satu Jawatankuasa di peringkat Pakatan Harapan (PH) Negeri Sarawak telah ditubuhkan untuk membincangkan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak akan datang.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata, jawatankuasa peringkat pimpinan tertinggi daripada komponen PH Negeri Sarawak akan membincangkan pengagihan kerusi yang terdiri pada PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu.

Beliau menjelaskan, dari segi calon PH kini sudah mempunyai calon dari kalangan mereka yang sudah lama berjuang dengan parti dari mula hingga sekarang.

“Justeru, adalah diharapkan untuk rakyat di Sarawak memberi mandat kepada PH mengambil alih kerajaan negeri nanti,” tegasnya selepas merasmikan pembukaan Pejabat Khimat Komuniti PKR Dun Stakan di Kuching hari ini.

Pada masa sama, Baru yang juga merupakan Menteri Kerja Raya menggesa agar golongan muda mendaftarkan diri sebagai pengundi kerana PRN12 ini adalah kali pertama belia 18 tahun dapat mengundi.

Sementara itu ketika diminta mengulas kekalahan calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis Sabtu lalu, beliau menghormati keputusan pengundi di sana sekali gus memberi mesej jelas yang kepada kerajaan berhubung isu-isu yang dibangkitkan pada PRK itu

“Pasca nilai perlu dibuat mengapa pengundi tidak menyokong calon PH dari WARISAN. Bagi saya ini adalah masa untuk kerajaan menilai semula perkara yang betul untuk dibuat,” tambahnya.

PRK Parlimen Kimanis, Sabtu lepas menyaksikan calon PH dari parti WARISAN, Datuk Karim Bujang tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dengan majoriti 2029 undi.