Malaysia Dateline

PRN12: PKR Sarawak jangka lima penjuru di DUN Marudi

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Marudi Elias Lipi Mat menjangkakan tiga atau lima calon bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti.

Beliau yang juga calon berpotensi bertanding di kerusi DUN itu berkata, selain PKR, calon lain yang berkemungkinan bertanding ialah Parti Demokratik Progresif (PDP) Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran yang mewakili Parti Bersatu Sarawak (PSB).

“Malah terdapat juga khabar angin menyatakan PBK (Parti Bumi Kenyalang) dan Bersatu mempunyai calon masing-masing di DUN Marudi.

“Dengan perancangan yang baik, saya percaya bahawa PKR mempunyai manifesto pilihan raya yang baik kelak.

“Kita juga akan membangkitkan banyak isu dan agenda tempatan yang patut menarik perhatian pengundi di Marudi khususnya berkaitan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, serta jalan raya yang semuanya masih belum ditangani dengan baik selama ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu-isu sedemikian mungkin kelihatan remeh kepada orang lain, tetapi ia sangat dekat dengan rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil.

Untuk itu, jelas Elias lagi PKR Marudi akan bersedia untuk menghadapi PRN12 walaupun secara dasarnya tidak bersetuju pengundian diadakan di tengah-tengah situasi Covid-19 sekarang.

“Kami tetap bersedia dengan jentera pilihan raya yang akan bermula sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan.

“Begitu pun, kita akui pilihan raya negeri kali ini amat mencabar, memandangkan penularan wabak Covid-19,” tambahnya.

DUN Marudi kini disandang Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Dr Penguang Manggil selepas menang pada PRN12 dengan memperoleh 5,493 undi sekali gus majoriti dengan 1,387.