Malaysia Dateline

PRN12: PKR Sarawak perkenalkan 10 tawaran

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak bakal memperkenalkan 10 tawaran kepada seluruh rakyat dan pengundi di negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Menurut Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, Abun Sui Anyit, antara tawaran itu ialah mempertahankan tanah hak adat Bumiputera (NCR), kemudahan air bersih, bekalan elektrik, pengangkutan dan perumahan, membina jalan raya selamat, pendidikan berkualiti di samping membuka peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini.

Jelasnya, tawaran lain termasuk menjana ekonomi, pendapatan minyak serta gas untuk pembangunan luar bandar, kesihatan untuk semua, memperbaiki hospital dan klinik desa, kesinambungan digital (e-Gov, E-Pendidikan, E-Ekonomi), anti rasuah serta reformasi pentadbiran, polisi perhutanan serta pertanian lestari, menyelesaikan masalah kad pengenalan serta melindungi kanak-kanak dan wanita.

“Kita akan memastikan tawaran berkenaan dapat dilaksanakan sekiranya diberi kepercayaan sekali gus berazam menggunakan nilai-nilai anti rasuah dan reformasi pentadbiran kerajaan negeri kelak,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Abun berharap kepada pengundi di negeri ini mampu membawa perubahan bersama rakan Pakatan Harapan di Sarawak pada PRN12 akan datang.

Selain PKR, PH Sarawak turut diwakili Parti AMANAH Negara dan Demokratic Action Party (DAP).