Malaysia Dateline

PRN12: PSB timbang kerjasama bersama pembangkang di Sarawak

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Sri Wong Soon Koh akan mengadakan perbincangan bersama parti pembangkang di Sarawak sekali gus menimbang untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Beliau berkata, PSB akan mengadakan perbincangan bersama parti pembangkang di negeri ini seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai perkara tersebut.

“Secara dasarnya, kami (PSB) bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di negeri ini bagi menghadapi PRN12 akan datang,” ujarnya di Kuching hari ini.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan menjelaskan, kerjasama itu adalah bagi membolehkan barisan pembangkang di negeri ini yang mempunyai visi yang sama untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-12, sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu.

“Walaupun kita sudah mengenal pasti calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita akan bekerjasama dengan parti pembangkang yang mempunyai pemikiran yang sama dalam PRN12 nanti supaya kita dapat memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

“Ini dapat menjadi permulaan bagi Sarawak untuk memiliki suara yang tulen dan berkesan dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan menuntut semula tempat yang selayaknya dalam Persekutuan,” tegasnya.

Beliau menambah, PSB akan bekerja keras dan bersama-sama parti pembangkang lain demi kebaikan rakyat dan menempa sejarah baharu untuk Sarawak pada masa akan datang.

Mengenai sama ada PSB akan bersama dengan barisan pembangkang dalam persidangan DUN, Wong memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan DAP berkaitan perkara tersebut.

“PSB mempunyai enam kerusi DUN, begitu juga DAP. Justeru, kami akan berbincang bersama siapa yang akan mengetuai barisan pembangkang di Sarawak,” ujarnya lagi.