Malaysia Dateline

PRN12 Sarawak: Abang Johari bakal bertanding di DUN Gedong

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini.

Malah, Pengerusi GPS itu berterima kasih kepada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Naroden Majais atas tawaran kepadanya bertanding di Gedong pada PRN12 nanti.

“Terima kasih kepada beliau (Naroden) kerana memberi ruang kepada saya tetapi saya belum tahu lagi.

“Sebagai ketua menteri saya melihat semua kawasan sama ada Gedong, Simunjan atau Satok.

“Ditolak susah, diterima susah dan saya akan mempertimbangkan (bertanding di Gedong),” katanya semasa melakukan lawatan di Kampung Gedong hari ini.

Abang Johari merupakan penyandang kerusi DUN Satok.

Terdahulu dalam ucapannya, Naroden menawarkan Abang Johari untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Sebelum ini, GPS telah memaklumkan akan menampilkan sekurang-kurangnya 20 calon muka baharu pada PRN12 kelak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, calon muka baharu itu terdiri daripada golongan belia dan di kalangan yang berpengalaman.

Beliau berkata, senarai akhir calon akan diumum oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya sendiri berada di dalam parti dan saya tahu kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang akan menyaksikan perubahan.

“Sekurang-kurangnya calon muka baharu itu tidak kurang daripada 20 orang,” katanya.

Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.
GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dengan GPS yang bakal meletakkan calon di semua 82 kerusi DUN ia sekali gus tidak memberi ruang kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Bersatu untuk menurunkan calon-calon mereka pada PRN12 nanti.

Justeru, adalah dijangka Pas dan Bersatu akan bertembung dengan GPS di setengah kawasan DUN seperti yang berlaku PRN Melaka ketika ini.