Malaysia Dateline

PRN12 Sarawak akan diadakan tahun depan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan diadakan pada tahun depan, menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, PRN12 sepatutnya telah dirancang diadakan hujung tahun ini namun terpaksa ditangguh ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Abang Johari tidak menjelaskan tarikh PRN12 jika dilaksanakan pada tahun depan memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar dengan sendirinya sebaik tempoh semasa tamat pada 6 Jun 2021.

“Sebenarnya kami merancang untuk mengadakan PRN12 lebih awal tetapi disebabkan Covid-19, ia terpaksa ditunda.

“Kini sudah pertengahan Disember, bermakna pilihan raya akan diadakan tahun depan tetapi bila (tarikh), saya tak tahu,” ujarnya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menafikan jangkaan PRN-12 akan diadakan pada Mac tahun depan.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah menggunakan istilah Darul Hana bagi merujuk nama negeri ini seperti yang ditimbulkan PAS Sarawak sebelum ini.

“Kalau benar Kerajaan Negeri Sarawak buat itu, saya pasti tahu, namun kini saya pun tidak tahu. Mereka (PAS Sarawak) cuma mahu menimbulkan isu itu kerana sudah tiada lagi isu untuk menentang kerajaan,”

“Kerajaan Negeri Sarawak hanya menggunakan istilah Darul Hana untuk menamakan jambatan, perumahan dan masjid.

“Dan kita tidak boleh sesuka hati menggunakan istilah Darul Hana bagi merujuk Sarawak kerana harus mendapatkan persetujuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” jelas beliau lagi.