Malaysia Dateline

PRN12 Sarawak: Bersatu rayu mahu tandingi kerusi DUN Kemena

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Bintulu merayu agar diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Ketua Bahagian Bersatu Parlimen Bintulu, Leftenan Madya (B) Duke Janteng berharap supaya pucuk pimpinan parti dan Perikatan Nasional (PN) memberi peluang untuk meletakkan calon berdasarkan kehendak ahli parti dan pengundi di kawasan.

Bagaimanapun, katanya sebelum ini Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah memberi jaminan untuk tidak meletakkan mana – mana calon dalam di Sarawak.

“Ini adalah langkah baik namun atas desakan ahli yang begitu ramai di kawasan DUN Kemena maka saya merayu pucuk pimpinan agar memberi peluang bagi saya bertanding di kawasan DUN berkenaan.

“Kita bertanding atas tiket Bersatu sekiranya diberi peluang namun kita akan tetap menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat pentadbiran,” katanya dalam sidang media di Bilik Pejabat Bersatu Jalan Sibiew di Bintulu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sarawak berkata, pihaknya akan bertembung dengan GPS di Kemena tetapi tindakan untuk bertanding ini adalah kehendak ahli Bersatu yang paling ramai di kawasan itu.

Malah, beliau mendakwa mempunyai peluang yang cukup tinggi untuk menang di kawasan DUN Kemena dengan keseluruhan ahli Bersatu kawasan itu adalah lebih kurang 15,000 hingga 16,000 orang.

“Maka dengan ini saya merayu majlis pimpinan parti untuk mempertimbangkan nya lebih-lebih lagi saya telah bergiat dalam politik sejak 2018 bermula melalui pergerakan Bersatu di Sarawak.

“Dan saya telah memperluas karier politik termasuk aktiviti kebajikan di kawasan Parlimen Bintulu hingga hari ini serta sudahmenjelajah kawasan dari DUN Samalaju, Jepak, Tanjong Batu dan Kemena,” ujarnya lagi.