Malaysia Dateline

PRN12 Sarawak: Calon AMANAH dimuktamad akhir November ini

Bakal calon-calon Parti AMANAH Negara bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak bakal dimuktamadkan akhir November ini.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak Fadillah Sabali, pihaknya telah pun menerima senarai nama calon-calon itu dan akan diumumkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubar atau selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon kelak.

Fadillah Sabali

Katanya, pada dasarnya AMANAH Sarawak bersetuju dengan senarai nama bakal calon berkenaan memandangkan mereka ada yang telah menjalankan gerak kerja di lapangan selepas berakhirnya PRN11 2016 lalu.

“Malah kali ini, kita akan menampilkan calon baharu dan muda serta beberapa yang lain merupakan anak tempatan dan amat dikenali di kawasan masing-masing.

“Justeru, adalah tidak mustahil sekiranya AMANAH mampu mencipta sejarah di Sarawak pada PRN12 nanti,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat AMANAH di Kuching hari ini.

Fadillah berkata, bagi menghadapi PRN12 nanti, AMANAH Sarawak sedaya-upaya memberi saingan kepada mana-mana parti yang meletakkan calon kerana dijangka setiap kerusi DUN bakal menyaksikan sekurang-kurangnya tiga atau empat penjuru yang bertanding.

Seperti yang berlaku pada PRN Sabah September lalu, ujarnya di Sarawak nanti situasi yang sama akan turut berlaku dengan pertembungan calon yang ramai dari parti-parti yang bertanding.

“Saya yakin adalah tidak mustahil ada kerusi DUN yang akan ditandingi sehingga enam dan tujuh penjuru termasuk calon yang bergerak sendiri-BEBAS.

“Untuk itu, hanya calon yang benar-benar dekat di hati pengundi dan sentiasa turun padang berupaya meraih kemenangan kelak.

Pada PRN12 akan datang, AMANAH Sarawak bakal bertanding di sembilan kerusi DUN.

Kerusi DUN itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.