Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin menang di 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.
Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau optimis terhadap semua calon yang diletakkan mewakili parti itu sekali gus menganggap semua 27 kerusi DUN yang ditanddingi parti itu berpotensi untuk menang.
“Kita yakin bahawa semua 27 calon yang diletakkan PRN12 kali ini berupaya untuk menang,” katanya.
Berkaitan suasana PRN12, Anwar menambah secara keseluruhan pihaknya menerima proses perjalanan pilihan raya yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, katanya, adalah amat sukar untuk meramalkan keputusan untuk PRN12.
“Kita reda dengan suasana pilihan raya kali…Kita tak nampak sangat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan penolakan rakyat terhadap PKR pada PRN Melaka tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur sokongan pengundi terhadap PKR di Sarawak.
Tegasnya situasi di PRN Melaka dan PRN Sarawak adalah berbeza dan beliau mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki segera.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding tak di Melaka? Itu jawapan penting. Keduanya saya terima beberapa kelemahan kita di Melaka yang perlu diperbaiki dan akan cuba sedaya upaya untuk menjelaskan kepada rakyat di Sarawak,” ujarnya.
Untuk itu, katanya dalam percaturan kempen PKR di Sarawak, maklum balas yang diterima amat baik namun kekangan prosedur operasi standard (SOP) merencatkan jentera pilihan PKR.
“Sambutan amat baik namun kita tidak boleh kempen secara terbuka dan banyak kekangan. Itu adalah halangan untuk kita mendekati rakyat di kawasan-kawasan terpencil,” tegas Anwar.