Malaysia Dateline

PRN12 Sarawak: Politik atau penyakit?

Dengan Proklamasi Darurat sudah ditamatkan pada 3 November lalu, kini situasi adalah lebih terarah kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

Ini kerana, sebaik Proklamasi Darurat diumumkan, ia sekali gus menandakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan secara automatik turut terbubar.

Makanya, Sarawak harus mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas Proklamasi Darurat ditamatkan sejak 3 November lalu.

Bagaimanapun, adakah wajar Proklamasi Darurat ditamatkan awal bagi memberi laluan kepada PRN12 sedangkan mengikut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi data hasil kajian berterusan oleh Institute of Health and Community Medicine, UKM Medical Molecular Biology, Integrative Pharmacogenomics Institute, dan Malaysia Genome Institute yang memaklumkan sebanyak 1,047 kes varian membimbangkan (VOC) dikesan sejak 29 Oktober lepas dengan semuanya adalah varian Delta.

Katanya, kes berkenaan dikenal pasti di 11 negeri dengan yang paling tinggi di Sarawak yang mana 790 kes atau 75.5% telah dikesan.

Malah, sebelum ini Noor Hisham turut menjelaskan bahawa varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan (R0 atau R-nought) lebih tinggi, dan lebih mudah berjangkit berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik Covid-19 tahun lalu.

HUD ANDRIĀ  ZULKARNAEN

Justeru, Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen menjangkakan bahawa peratusan keluar mengundi pada PRN12 nanti bakal menurun ekoran ketakutan para pengundi untuk keluar pada hari pengundian.

Ini lebih-lebih lagi, ujarnya dengan rekod kes positif Covid-19 di negeri ini masih ditahap membimbangkan setakat hari ini.

Mengulas lanjut, Hud Andri juga mempertikaikan kenyataan mantan Ketua Menteri Sarawak yang pernah memberitahu bahawa keselamatan rakyat di negeri ini adalah diutamakan.

“Dengan PRN12 bakal diadakan dalam masa terdekat ini, adakah pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) serius hendak menyelamatkan nyawa rakyat atau hanya mahu meneruskan legasi politik mereka semata-mata,” soal beliau.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan PRN12 Sarawak dalam masa terdekat ini.

Menurut Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, bagaimanapun tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan nanti.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U. (A) Seksyen 2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 (P.U.(A)324.

“Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diiungkaikan,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tegas belia lagi, di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama, berkehendakkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.