Malaysia Dateline

PRN12: STAR umumkan enam calon pertama

Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) telah mengumumkan enam calon pertama yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

Presidennya, Lina Soo telah mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Padungan.

Sementara, Pengerusinya Buln Ribos dan Timbalan Presiden, Hugh Lawrence Zehnder masing-masing akan bertanding di Serembu dan Engkilili.

Tiga lagi calon iaitu Simon Tiong Ing Tung, Chiang Lea Phing dan Fong Pau Teck masing-masing akan bertanding di kerusi Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.

Selain mengumumkan enam calon pertama yang akan bertanding, Star turut mengenal pasti 22 lagi kerusi yang akan ditandingi pada PRN12 nanti.

Bagaimanapun, senarai kerusi yang akan ditandingi masih belum dimuktamadkan termasuk calon-calonnya.

Pada PRN11 yang berlangsung pada 2016, Star bertanding di 11 kerusi dan kalah serta hilang deposit di semua kerusi yang ditandingi.

Walaupun tewas teruk, namun menurut Lina, Star tetap komited dalam meneruskan perjuangan parti untuk rakyat di negeri ini.

Pada sidang media baru-baru ini, beliau turut mengumumkan tiga aspirasi untuk dicapai bagi tahun 2020.

Tiga aspirasi tersebut adalah Hak Menentukan Nasib Sendiri, Pemulihan Sumber, Laut dan Aset serta Pembaharuan Tanah.

“Kesemua tiga aspirasi berkenaan mampu dicapai, realistik dan tepat pada masanya,” ujarnya.

Pilihan Raya Negeri Sarawak terakhir ialah pada 7 Mei 2016 dengan Barisan Nasional (BN) pada masa itu berjaya memenangi 72 daripada 82 kerusi negeri.

Manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi tujuh kerusi iaitu Padungan, Pending, Kota Sentosa, Pelawan, Bukit Assek, Tanjong Batu dan Pujut, sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga menang tiga kerusi di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

Untuk sesebuah parti atau Gabungan Parti memerintah Negeri Sarawak, mereka perlu menang sekurang-kurangnya 42 kerusi Dun.

Rekod kedudukan kerusi Dun Gabungan Parti Sarawak yang sebelum ini di bawah Barisan Nasional ialah berjaya menyapu bersih 40 kerusi di bawah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

SUPP pula bertanding di 13 kerusi tetapi hanya menang tujuh,
SPDP bertanding lima kerusi, menang tiga dan PRS turut menang semua 11 kerusi yang diperuntukkan untuk parti tersebut.

Bagi Calon langsung BN, mereka berjaya menang 11 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan sekali gus meletakkan jumlah kerusi yang diraih GPS ialah sebanyak 72.

Dalam pada itu, pecahan bagi kerusi parti-parti lain menyaksikan DAP hanya menang tujuh daripada 31 kerusi.

Begitu juga dengan PKR yang meletakkan 41 calon tetapi hanya sekadar meraih tiga kerusi.

Parti lain seperti Pas, AMANAH, PBDSB, STAR serta calon-calon Bebas gagal memperolehi sebarang kerusi.