Kumpulan politik pelajar Universiti Malaya yang dinamakan Pro Mahasiswa dengan rasminya dibubarkan hari ini.
“Kini sudah tiba masanya Pro Mahasiswa dibubarkan atas justifikasi memberi laluan kepada dinamika politik baru dalam arena politik kampus,” kata jurucakap kumpulan itu, Erfan Razeeq bin Ahmad Mohni.
Walaubagaimanapun katanya, prinsip perjuangan untuk mengangkat suara dan hak mahasiswa, melawan kezaliman dan penindasan akan pasti diteruskan.
“Terima kasih tidak terhingga atas jerit perih serta sokongan padu yang disumbangkan oleh seluruh pendokong dan penyokong Pro Mahasiswa dari tahun 2007 sehinggalah kini.
“Andalah batu-bata di sebalik bangunan kukuh perjuangan mahasiswa,” katanya.
Persoalannya kata beliau, masih adakah kumpulan mahasiswa yang bersedia untuk terus mengangkat prinsip perjuangan mahasiswa sepertimana yang ditonjolkan melalui watak Pro Mahasiswa sebelum ini?
“Atau mungkin watak ini terus bersemadi selepas pembubaran ini? Jawapannya ada pada mahasiswa.
“Nama hanyalah sekadar jenama.
“Namun prinsip perjuangan tetap kekal didokong bersama.
“Mahasiswa harus terus mara bersama memperkukuh segala kekuatan yang pernah dibina, ambil pengajaran daripada sejarah yang dicipta dan bangkit daripada kejatuhan.
“Sama-sama kita bina naratif politik mahasiswa yang lebih segar.
“Ayuh dokong prinsip kebenaran dan keadilan. Bersama ANGKATAN memimpin mahasiswa! ” seru beliau
Erfan yang mengimbau dari mula gerakan pelajar itu beroperasi menganggap sedekad penubuhan Pro Mahasiswa Universiti Malaya, menyaksikan jatuh bangun perjuangan mahasiswa khususnya dalam pilihanraya kampus.
“Diasaskan pada tahun 2007 berlatarbelakangkan perjuangan melalui wadah sebelumnya iaitu Gagasan Mahasiswa (GAGASAN), Pro Mahasiswa muncul membawa nafas baru perjuangan mahasiswa ketika itu.
“Sepanjang sedekad itulah Pro Mahasiswa membina kekuatan dan mencatat sejarah melalui kemenangan dalam Pilihanraya Kampus Universiti Malaya sebanyak 5 kali.
“Sorotan perjuangan Pro Mahasiswa mendapat perhatian masyarakat awam sehingga ke peringkat nasional serta mempunyai laman rasmi yang mencecah 14,000 likers yang ingin mengikuti perkembangannya.
“Tidak dinafikan bahawa saban tahun, perubahan lanskap politik kampus membekalkan tekanan untuk mahasiswa mencorak gerakan yang lebih dinamik,” katanya dalam kenyataan yang diedar kepada media.