Produk usahawan desa yang berkualiti akan dipasarkan besar-besaran, kata PM

Oleh BORHAN AHMAD

Produk usahawan desa akan dipasarkan secara besar-besaran oleh kerajaan Malaysia Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Sungai Petani, PM Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempromosikan produk usahawan desa secara besar-besaran ke pasaran antarabangsa.

“Namun, saya singgung kepentingan agar produk berkenaan mestilah berkualiti dari segi kebersihan dan pembungkusan yang menarik sebelum boleh dipasarkan ke luar negara,” kata beliau dalam ucapan itu.

Sementelahan, katanya, usahawan desa juga perlu mendapatkan pandangan dan nasihat semasa penganjuran mini karnival itu dalam usaha meningkatkan mutu pengeluaran produk sekali gus menghasilkan produk yang lebih baik dan berkualiti.

“Moga penganjuran mini karnival seperti hari ini dapat memberi ruang dan peluang untuk mengangkat martabat usahawan desa ke peringkat global,” katanya di majlis itu.

Anwar bersama para peserta usahawan desa di karnival yang dianjurkan di Sungai Petani itu.

Turut serta adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Di majlis itu, pelbagai produk usahawan desa dipamirkan yang diharap dapat memasuki pasaran yang lebih besar.