Topik #Mnetapologize menjadi sohor kini di Twitter susulan tindakan pasukan produksi Mnet Street Woman Fighter menggunakan runut bunyi yang menyerupai bunyi azan.
Runut bunyi itu digunakan semasa pengenalan bagi episod pertama program tersebut yang menampilkan seorang penyanyi kumpulan K-Pop.
Ekoran kecaman umat Islam, pasukan produksi itu membuat permohonan maaf melalui kenyataan media di Instagram rasmi mnet_dance.
Menurut Mnet yang merupakan saluran muzik siaran televisyen berbayar di Korea Selatan, lagu yang diguna adalah runut bunyi elektronik yang berdaftar dengan platform penstriman rasmi.
Pasukan produksi menyangkakan bunyi elektronik itu adalah lagu yang sesuai dijadikan sebagai latar belakang muzik program tersebut.
“Kami sama sekali tidak mempunyai sebarang niat lain. Kami secara jujur meminta maaf disebabkan rasa tidak selesa orang ramai yang menyifatkan bunyi tersebut spesifik dengan perkara tertentu,” katanya.
Sejak semalam, gubahan laungan azan di permulaan bunyi latar rancangan Street Woman Fighter yang dimuat naik menerusi YouTube mengundang kecaman peminat muzik K-Pop seluruh dunia.
Reaksi umum itu termasuklah daripada seorang wanita yang mendakwa pihak produksi terbabit sengaja mengubah semula (remix) suara azan asal dalam video komersial tersebut.
Wanita berpurdah itu mendakwa tindakan tersebut secara jelas menyentuh sensitiviti agama kerana azan tidak boleh digunakan bagi tujuan hiburan dan muzik.
Street Woman Fighter merupakan program pertandingan menari yang menampilkan peserta wanita dan dihoskan oleh penyanyi terkenal, Kang Daniel turut menampilkan Psy, Taeyoung NCT, dan BoA sebagai juri.