Malaysia Dateline

Prof Dr Kamil Majid sertai AMANAH: Bukti luas gerak kerja politik Islam

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan penyertaan Prof Dr Mohamad Kamil Abdul Majid dalam parti itu telah membuktikan gerak kerja politik berlandaskan Islam bersifat luas dan rencam.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, keputusan pakar dalam bidang usuluddin dan pemikiran Islam itu juga bukti gerak kerja politik bukan menjadi milik parti tertentu sahaja.

Menurutnya, Prof Dr Mohamad Kami merupakan tokoh ilmuan Islam tanah air yang telah menghasilkan pelbagai karya dan kajian ilmiah dalam usaha memantapkan kefahaman Islam kepada ummah khususnya di Malaysia.

“Pemuda AMANAH yakin dengan penyertaan beliau, usaha memperkasa Majlis Penasihat Pakar sebagai struktur tertinggi semak dan imbang parti yang kini diketuai Penasihat Umum, Datuk Seri Ustaz Ahmad bin Awang akan lebih mantap dan efisien.

“Sebagai tokoh akademik yang dihormati segenap lapisan masyarakat, penyertaan beliau juga diharapkan mampu menarik lebih ramai lagi agamawan untuk bersama-sama AMANAH,” katanya dalam satu kenyataan.