Malaysia Dateline

Profesion perubatan diasak kerajaan gagal berfungsi

Dalam keadaan kita sangat memerlukan perkhidmatan doktor rentetan pandemik Covid-19 yang mengganas, amat malang apabila para doktor diberi tekanan oleh kerajaan sendiri.

Bilamana doktor dan pegawai perubatan yang sedia ada bertungkus-lumus bekerja melebihi had kemampuan mereka dan berada di bawah tekanan yang melampau berikutan situasi yang tidak menyenangkan cuba memberi cadangan atau idea, menteri sendiri bertindak menindas dan menyerang mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional membantah label “negara gagal” yang ditujukan kepada Malaysia, namun bukti setiap hari menunjukkan sememangnya negara kita menuju kearah negara gagal kerana kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, Adlin Zabri, bekas Setiausaha Akhbar yang dipercayai rapat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Azmin Ali, secara terang-terangan menyerang Dr Noor Hisham, Ketua Pengarah KKM.

Adlin menyalahkan Dr Noor Hisham atas kegagalan mengawal krisis Covid-19 yang sedang berlaku dan mengesanya berundur.

Tindakan ini sekaligus merosakkan kepercayaan rakyat yang telah pun hilang kepercayaan kepada kerajaan dalam menangani krisis kesihatan yang melanda.

Beberapa minggu lalu, pegawai Menteri KPKT Zuraidah Kamaruddin juga bertindak serupa membuat serangan awam terhadap pakar penyakit berjangkit dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Adeeba Kamrulzaman yang memberi nasihat agar kerajaan tidak melakukan sanitasi secara salah.

Dengan terbongkarnya situasi kritikal di beberapa hospital utama di Kelang, Ampang, dan Selayang oleh kakitangam perubatan baru-baru ini sehingga Perdana Menteri, Mahiaddin sendiri turun memantau, kerajaan seharusnya lebih bersimpati dengan mereka, bukan memberi lebih tekanan.

Malangnya, pada masa sama, pihak berkuasa dan polis membuka siasatan terhadap para doktor berikutan gerakan hartal mereka yang cuba memperjuangkan nasib doktor kontrak dan isu masalah perubatan semasa.

Ego ahli politik

Pada saat kita bergelut untuk berdepan bencana yang datang, ego ahli politik lebih diutamakan daripada perlunya memberikan layanan yang sewajarnya terhadap penderitaan rakyat dan situasi yang dihadapi pengamal perubatan.

Tindakan menyalahkan pihak lain dan sorok masalah di bawah karpet adalah perkara terakhir rakyat mahu lihat dalam keadaan kes harian positif mencecah lebih 11,000 kes.

Bagaimana lagi kerajaan hari ini boleh dipercayai?

Tidakkah kerajaan mengamalkan dasar tanggungjawab bersama? Kerajaan memutuskan polisi dan pasukan perubatan di KKM melaksanakannya. Mengapa mengalihkan kesalahan dan masalah kepada doktor sahaja?

Sama ada negara, kerajaan atau seluruh negara yang gagal, satu perkara yang pasti kini adalah kita gagal sebagai satu pasukan yang padu untuk saling bekerja memulihkan negara.

Apabila Menteri kerajaan dan penjawat awam berselisih dan tidak mencapai kata sepakat, kepada siapa rakyat akan bergantung harap? Menteri sewajarnya lebih bertanggungjawab dan cuba untuk dengar nasihat pakar!

Bukan sahaja berselisih dengan pakar, pemimpin kerajaan hari ini sampai tergamak melanggar titah Raja-Raja Melayu untuk membuka Parlimen dan Dun.

Sekiranya sektor perubatan yang paling kritikal, yang menjadi harapan utama rakyat untuk menyelamatkan negara, diberi tekanan dan dibuli oleh kerajaan kita sendiri dalam masa krisis yang kritikal, harapan apa yang kita ada?

Memandangkan keadaan buruk yang kita alami sekarang, harapan rakyat adalah pada pengamal perubatan dan bukannya pada kerajaan yang tidak berfungsi.

Dengan masalah dalaman kerajaan hari ini yang saling berebut kerusi Perdana Menteri, bagaimana lagi dapat kita mengambarkan keadaan Malaysia yang kita cintai ini melainkan merumuskan bahawa Malaysia kini menuju ke arah sebuah negara gagal.