Malaysia Dateline

Program Agro Nisaa’-i khusus bantu usahawan tani wanita

Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i dilihat dapat membantu usahawan tani wanita khususnya golongan B40 meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata pembiayaan maksimum sehingga RM30,000 yang dikendalikan oleh Agrobank menerusi program itu, merupakan satu inisiatif yang dapat menjamin masa depan usahawan tani wanita serta menaiktaraf sosio-ekonomi mereka walaupun secara kecil-kecilan.

“Saya yakin dengan adanya program sebegini ia dapat menggalakkan golongan wanita supaya lebih serius dalam memberi sumbangan kepada sektor pertanian dan mengangkat taraf wanita keluar dari kancah kemiskinan,” katanya kepada pemberita di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Salehuddin berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Syed Alwi Mohamed Sultan.

Sementara itu, Syed Alwi berkata usahawan tani wanita yang menyertai program itu turut mendapat pelan perlindungan takaful kemalangan diri selama setahun.

“Skim ini menggabungkan tiga konsep utama iaitu pembinaan asas disiplin kredit, pengeluaran pembiayaan yang berterusan dan pemantauan yang konsisten serta sistematik,” tambahnya.

Agrobank turut menyediakan solusi pembiayaan komprehensif bagi pertanian yang merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan aktiviti hiliran seperti pemprosesan dan jualan produk pertanian kepada pengguna.

— BERNAMA