Program ‘Ayuh dik… kita ke Sekolah’ santuni 200 asnaf sekitar ibu negara

Program ‘Ayuh dik… kita ke Sekolah’ santuni 200 asnaf sekitar ibu negara
Khalid menyantuni anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan pada bulan depan

Julung kalinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu seramai 200 golongan asnaf dan miskin di sekitar Kuala Lumpur dalam program ‘Ayuh Dik… Kita Ke Sekolah’.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, program yang dijalankan di sebuah hotel di ibu negara itu, adalah selari dengan Inisiatif Wilayah Peduli.

“Pihak saya, iaitu Persatuan Kebajikan DBKL, telah memberikan sumbangan berupa bantuan persekolah kepada 200 pelajar yang mengikuti tuisyen dan sekolah-sekolah yang mempunyai hubung kait dengan DBKL.

“Program ini adalah kali pertama dilakukan oleh pihak DBKL dan merupakan program yang baik kerana memberikan imej bagus kepada DBKL itu sendiri.

“Imej bagus itu adalah DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan yang lebih prihatin dan sanggup membantu mengurangkan bukan sahaja perbelanjaan pra-sekolah, tetapi juga kemasukan anak-anak mereka (yang layak dibantu) ke sekolah-sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut, hari ini.

200 golongan asnaf diraikan dalam satu majlis khas untuk mereka, hari ini

Terdahulu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH menyampaikan sumbangan berbentuk baucar kelengkapan sekolah bernilai RM150 setiap seorang yang boleh ditebus di Pustaka Rakyat Cawangan Setapak.

Penerima-penerima sumbangan itu terdiri daripada pelajar-pelajar Program Tuisyen DBKL dan juga Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

Ditanya adakah pihaknya akan meneruskan program ini pada masa akan datang, Khalid berkata ia akan diadakan pada setiap tahun.

“InsyaAllah tiap-tiap tahun kita akan adakan program ini. Kita sudah memulakan (program), jadi kita akan kekalkan benda yang baik. Kemungkinan jumlah sumbangan akan ditambahkan lagi,” ujarnya lagi.

Menurut Khalid, keutamaan sumbangan diberikan kepada anak-anak golongan B40 dan juga kepada mereka yang terlibat dengan program di bawah DBKL.

(kiri) Muhammad Faiz dan (kanan) Faiqah

Sementara itu, Muhammad Faiz, 9, dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, menzahirkan rasa terharu dengan bantuan persekolahan yang diterima.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan ini. Saya cukup gembira dan tak sabar untuk membeli perkakas sekolah nanti,” katanya.

Murid dari Sekolah Kebangsaan Kiaramas dikenali sebagai Faiqah, 10, juga berkongsi rasa yang sama dengan Muhammad Faiz.

“Saya gembira dengan bantuan persekolahan ini. Rasa lebih bersemangat untuk ke sekolah nanti,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.