Malaysia Dateline

Program ‘Back to School’ bantu 30 pelajar kurang berkemampuan

Seramai 30 orang murid dan pelajar sekolah di kawasan Gelang Patah mendapat bantuan keperluan persekolahan sempena program ‘Back to School’ (Kembali ke Sekolah)  anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Gelang Patah.

Menurut Ketua Kawasan AMANAH Gelang Patah yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Johor Dzulkefly Ahmad, sumbangan tersebut menyasarkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Sumbangan berbentuk peralatan kelengkapan sekolah seperti alat tulis, pakaian seragam, beg sekolah dan wang tunai telah disumbangkan dalam program tersebut.

Kehadiran orang ramai ke program ‘Back to School’ yang dianjurkan Amanah Kawasan Gelang Patah.

“Usaha yang dilakukan oleh pihak kami ini adalah bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mereka dapat meneruskan pelajaran mereka dan sedikit sebanyak usaha ini adalah untuk menyemarakkan lagi semangat murid-murid berkenaan untuk bersedia ke alam persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Pihak kami turut maklum berkenaan dengan keadaan ekonomi pada hari ini yang mana ia melibatkan kepayahan yang dialami golongan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan persekolahan untuk anak-anak mereka maka dari itu usaha ini dijalankan bagi membantu mereka.

“Sambutan yang menggalakkan diterima oleh pihak kami di mana ke semua ibu bapa dan murid yang disasarkan hadir bagi menerima sumbangan daripada pihak kami walaupun pihak dimaklumkan, penganjur program ini bukanlah terdiri di kalangan pihak kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Dzulkefly merakamkan rasa berbesar hatinya dengan sambutan yang diterima dan berasa bangga dengan objektif yang disasarkan itu tercapai serta beliau turut menyampaikan penghargaan terima kasih kepada individu yang turut membantu menyumbang sama dalam program yang dianjurkan oleh AMANAH Gelang Patah itu.