Malaysia Dateline

Program cerapan Gerhana Matahari Annulus di Serian 26 Disember ini

Orang ramai dipelawa menyertai program cerapan Gerhana Matahari Annulus Peringkat Bahagian Serian anjuran Planetarium Sultan Iskandar pada 26 Disember ini, bermula jam 10 pagi.

Menurut satu kenyataan, program itu diadakan dengan kerjasama Planetarium Negara bersama-sama agensi-agensi tempatan sempena fenomena Gerhana Matahari Annulus atau pun cincin yang hanya dapat dilihat sepenuhnya di beberapa lokasi di Malaysia seperti Serian, Sri Aman dan juga Tanjung Piai di Johor.

Kemuncak Gerhana Anulus akan berlaku bermula 1.46 hingga 1.50 tengah hari dan ia digelar Gerhana Matahari Annulus disebabkan bentuk cincin akan kelihatan apabila bulan berada di antara bumi dan matahari secara sepenuhnya.

Bagaimanapun, fenomena ini akan bermula seawal 11.49 pagi hingga 3.34 petang.

Sehubungan itu, Planetarium Sultan Iskandar dan Planetarium Negara akan mengadakan cerapan awam di dataran LePaPa Hypermarket di Serian bagi membolehkan orang awam untuk menyaksikan fenomena ini yang jarang berlaku di kawasan ini.

Pada hari tersebut, pihak Planetarium akan mengedarkan cermin mata khas bagi membolehkan orang ramai untuk melihat gerhana matahari dengan selamat selain mengadakan aktiviti membuat kamera lubang jarum serta disediakan beberapa teleskop bagi cerapan.

Lintas langsung Gerhana Matahari Annulus yang berlaku di Tanjung Piai, Johor serta fenomena gerhana matahari ini turut diadakan dan dapat disaksikan melalui laman web Planetarium Negara serta media-media sosial.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melihat fenomena gerhana Matahari Annulus dengan menggunakan mata kasar kerana ia boleh menyebabkan buta kekal.

Cermin mata khas akan diedarkan secara percuma dan teleskop disediakan bagi membolehkan aktiviti cerapan dilakukan dengan selamat.

Gerhana Matahari Annulus yang terakhir berlaku dan boleh dilihat di Malaysia adalah 21 tahun lalu pada 22 Ogos 1998 yang boleh disaksikan di Mersing, Johor dan sekiranya tidak berpeluang untuk melihat gerhana ini, kita harus menunggu 22 tahun lagi.

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Planetarium Sultan Iskandar, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak di talian 082-251275 atau layari laman web www.planetarium-sarawak.org.